Anda di sini

Atendan lori hadapi tuduhan miliki dadah

Advertisement

MIRI: Seorang atendan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Charles Leo Laing, 20, dari Long Lama, Baram telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan sementara kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa di bawah ADN 1952 didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.30 gram (berat kasar).

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952 (Semakan 2001).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.40 pagi, 29 April lalu di tepi jalan Lorong Mulia 2A Tudan Fasa 2 di sini.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes disiapkan.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie yang mendengar kes itu kemudian menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM2,900 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement