Anda di sini

Astro perkenal saluran khas ‘Ramadan HD’, ‘Raya HD’ untuk pelanggan setia

Advertisement
 Barisan selebriti bersama Khairul Anwar, Raqim Ahmad (Ketua Saluran Melayu Astro), Ustaz Fuad Mat Ali (Pengurus Saluran Astro Oasis), Nazri Noran (Pengurus Rangkaian Kandungan Melayu Astro Radio), Shahrin Zukir (Penolong Naib Presiden Kumpulan Pemasaran Astro) dan Nur Nazihah Mohd Dalhar (Pengurus Jenama Gempak).
MERIAH BERSAMA: Barisan selebriti bersama Khairul Anwar, Raqim Ahmad (Ketua Saluran Melayu Astro), Ustaz Fuad Mat Ali (Pengurus Saluran Astro Oasis), Nazri Noran (Pengurus Rangkaian Kandungan Melayu Astro Radio), Shahrin Zukir (Penolong Naib Presiden Kumpulan Pemasaran Astro) dan Nur Nazihah Mohd Dalhar (Pengurus Jenama Gempak).

KUALA LUMPUR: Ramadan 1439 Hijrah bakal menjelang tiba dan bulan keampunan ini dinantikan seluruh umat Islam yang menyambutnya.

Stesen televisyen Astro saban tahun meraikan kedatangan bulan mulia ini dengan pelbagai pengisian menarik dan penjiwaan bulan Ramadan ini dizahirkan menerusi seleksi program hebat di kesemua platformnya termasuklah di ruangan digital, televisyen, radio dan menerusi penganjuran aktiviti lapangan (‘on ground’).

Istimewanya Ramadan dan Raya kali ini, Astro buat julung kalinya mengangkat tema ‘Meriah Bersama’ bagi meraikan setiap rakyat Malaysia yang sentiasa setia menyokong dan menjadi tulang belakang dalam kejayaan yang diraih sejak lebih dari dua dekad lalu.

Menerusi tema ‘Meriah Bersama’ ini, Astro meraikan konsep kebersamaan dan menerapkan elemen keriangan menerusi kandungan hiburan yang bakal disajikan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan yang akan datang ini.

Dalam usaha menghargai pelanggannya, Astro buat julung kalinya membuka sebuah saluran khas ‘Ramadan HD’ (saluran 122) yang boleh dinikmati secara percuma kepada semua pelanggan Astro yang mempunyai perkhidmatan berdefinisi tinggi (HD) mulai 12 Mei 2018. Ia kemudiannya akan dipanjangkan ke musim perayaan menerusi saluran ‘Raya HD’ dari 14 Jun 2018 sehingga 15 Julai 2018.

Saluran khas ini bakal menyajikan seleksi program Ramadan dan Raya terbaik yang disusun berselang-seli tanpa henti merangkumi pelbagai genre berbeza.

Kemeriahan Ramadan dan Raya akan turut dirasai oleh pelanggan perkhidmatan satelit televisyen percuma pertama di Malaysia, NJOI, yang mana mulai 15 Mei 2018, NJOI akan memperkenalkan sebuah saluran khusus untuk pelanggannya.

Saluran NJOI (saluran 100) ini akan bersiaran selama 24-jam dalam Bahasa Melayu dan bakal menyorot kembali kehebatan program-program terdahulu yang pernah menambat hati penonton.

Menarik lagi, saluran ini memiliki akses langsung dengan kandungan-kandungan premium yang pernah disiarkan di saluran-saluran bahasa Melayu Astro.

Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, “Astro sentiasa berhasrat memberikan program-program terbaik untuk ditonton, didengari dan dilayari pelanggan setia kami dan bulan Ramadan tidak terkecuali.

“Sedar akan tanggungjawab besar dalam mendidik penonton kami dengan program-program yang mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam diri mereka, kami bertindak sebagai sebuah wahana penyampaian kandungan Islam yang unggul buat penonton dengan membariskan kandungan yang sarat dengan mesej-mesej positif.

“Program-program yang disediakan ini merangkumi pelbagai genre bersesuaian dan kami memberi tumpuan ke atas kesemua platform yang kami miliki, dari sisi 360-darjah, bagi memastikan setiap individu di luar sana mempunyai pilihan alternatif dalam mendapatkan akses kepada program-program yang disajikan ini.”

Mengulas mengenai pemilihan tema ‘Meriah Bersama’ yang melatari kempen Ramadan dan Raya Astro 2018 serta pengenalan saluran ‘Ramadan HD’, Khairul menyambung, “Kami merasakan bahawa tema ‘Meriah Bersama’ yang dipilih ini bertepatan dengan usaha kami untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia bersama kami. Tema ini memberi maksud yang sangat luas dan ia menggambarkan kegembiraan yang dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang masing-masing.

“Kami juga ingin meraikan konsep keber-samaan, keharmonian dan kepelbagaian di antara setiap rakyat Malaysia menerusi kandungan yang kami zahirkan di musim perayaan ini.

“Justeru itu, pada tahun ini, untuk pertama kalinya kami memperkenalkan saluran ‘Ramadan HD’ yang menyajikan kompilasi program yang padat dengan aspek kerohanian dan moral untuk membantu kita lebih menghayati bulan yang penuh barakah ini.”

Untuk tahun 2018 ini, sebanyak 38 program menarik dan terbaharu disediakan khas buat santapan rohani penonton.

Merangkumi program-program keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, majalah, sketsa, animasi dan rancangan khas seperti variasi, travelog serta bual bicara, saluran Islamik; Astro Oasis sekali lagi bertindak sebagai saluran utama yang menghiasi seleksi Ra-madan Astro.

Advertisement