Anda di sini

Usaha pertingkat ekonomi burung walit bukan baharu

Advertisement

SANDAKAN: Mempertingkatkan ekonomi berasaskan burung walit bukan satu perkara yang baharu kerana daerah ini sememangnya terkenal dengan sumber berkenaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Libaran Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata, sebagai contoh Gua Gomantong yang terkenal dengan perusahaan burung walit secara konvensional pada akhir 90-an oleh penduduk berhampiran.

 

Namun ketika ini, sejajar pembangunan negara dan industri penternakan burung walit, industri itu menjadi lebih mudah untuk diusahakan dengan menggunakan konsep rumah iaitu rumah burung walit.

"Sebagai makluman semua, nilai industri burung walit di Malaysia kini dianggarkan mencecah bilion ringgit berikutan mendapat permintaan yang tinggi untuk dikomersilkan.

"Ketika ini, harga sarang burung walit boleh mencecah sehingga RM6,000 sekilogram. Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan sahaja mampu meningkatkan dan mengubah corak kehidupan masyarakat kita, malah melalui industri ini dipercayai mampu melahirkan ramai jutawan industri burung walit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kursus Asas Penternakan Burung Walit anjuran Yayasan Sabah Zon Pantai Timur Utara dan UPPM Sungai Sibuga, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zakaria melahirkan penghargaan kepada Yayasan Sabah kerana menganjurkan kursus seumpama itu kepada masyarakat setempat secara percuma.

Katanya, kesungguhan peserta yang hadir pasti akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penternakan walit sekaligus membantu menambah baik ekonomi keluarga masing-masing.

ZAKARIA (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Kursus Asas Penternakan Burung Walit.
ZAKARIA (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Kursus Asas Penternakan Burung Walit.

"Ini juga merupakan satu kesungguhan Yayasan Sabah dalam membantu mempertingkat ekonomi masyarakat di kawasan ini. Saya berharap agar kursus seumpama akan dapat diadakan dengan lebih kerap dan diperluas ke beberapa kawasan lain," katanya.

Seramai 600 orang telah menyertai kursus berkenaan yang memberi pendedahan mengenai garis panduan dan tata cara mengurus rumah burung walit.

Hadir sama, Pengerusi Peladang Kawasan Sandakan Hamdan Hamid dan Pengurus Yayasan Sabah Zon Pantai Timur Utara Rosinah Moin.

  • oleh
  • Advertisement