Anda di sini

Tolak calon muncul bermusim

Advertisement

LABUAN: Pengundi di Wilayah Persekutuan Labuan dinasihatkan agar menolak calon yang tidak dikenali dan hanya muncul pada musim pilihan raya.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, calon seperti itu tidak layak untuk diberi tempat sebagai pemimpin kerana mereka tidak ikhlas untuk membantu rakyat sebaliknya berjuang untuk kepentingan peribadi.

 

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Labuan mahu rakyat lebih bijak memilih calon dan sudah tentu mereka akan menolak calon (pembangkang) yang hanya menemui rakyat lima tahun sekali berbanding calon BN yang sentiasa bersama rakyat pada sepanjang tahun.

“Jangan buang masa anda sebagai pengundi memilih calon yang hanya datang pada musim pilihan raya. Sebelum ini ke mana mereka dan selepas PRU, mereka lari ke tempat lain pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Durian Tunjung pada Selasa.

Mohd Rafi yang juga setiausaha politik Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen P166 Labuan Datuk Rozman Isli atau kini lebih dikenali sebagai Abang Man merupakan calon paling tepat untuk rakyat Labuan.

Ia kerana katanya, beliau merupakan calon yang cukup komited dalam memperjuangkan nasib rakyat sejak lima tahun lalu.

“Abang Man juga merupakan seorang pemimpin yang telah berjaya membawa pelbagai pembungunan dan kejayaan terbesar beliau ialah apabila dapat menyakinkan Perdana Menteri untuk meluluskan pembinaan jambatan yang telah dinantikan oleh rakyat Labuan sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Labuan khususnya pengundi di Durian Tunjong untuk keluar beramai-ramai dan mengundi calon BN (Rozman) pada 9 Mei ini.

MOHD Rafi (tiga dari kanan) bersama pengundi BN yang hadir di PDM Kg Durian Tunjong.
MOHD Rafi (tiga dari kanan) bersama pengundi BN yang hadir di PDM Kg Durian Tunjong.

Turut hadir, Rozman, Timbalan Pengerusi Jentera Pilihanraya BN Datuk Khalid Abdul Ghani, Ketua PDM Durian Tunjong Bungso Haji Mohamad dan Ketua Kampung Durian Tunjong Haji Ahad Ahmad.

Pada PRU14, Rozman ditentang calon Pas Ahmad Junid Mohamad Aling, Noor Halim Zaini (Warisan) dan Siti Zaleha Ibrahim (Harapan Rakyat).

Advertisement