Anda di sini

SME Corp sasar 100,000 PKS guna pembayaran digital

Advertisement

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menggunakan kaedah pembayaran digital atau transaksi tanpa tunai menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata setakat ini, terdapat 7,000 peniaga PKS menyertai perniagaan dalam talian, yang digerakkan oleh inisiatif seperti dompet elektronik Axiata Digital Services Sdn Bhd.

“PKS sudah pasti akan mendapat manfaat jika memilih kaedah tanpa tunai yang akan meningkatkan kecekapan operasi mereka, mengurangkan kos pentadbiran dan menikmati akses yang lebih cepat ketika mengutip pembayaran,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian susulan pemeteraian memorandum persefahaman antara SME Corp dan RHB Bank Bhd, yang bermatlamat memacu PKS Malaysia ke arah masyarakat tanpa tunai.

Kerjasama itu termasuk RHB Bank melantik SME Corp sebagai ejen JomPAY, pelantikan pertama di negara ini, untuk melaksanakan inisiatif tanpa tunai dalam kalangan PKS.

JomPAY ialah skim pembayaran bil negara yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Menerusi JomPAY, pelanggan bank boleh membayar bil berdaftar menggunakan Internet atau perbankan mudah alih atau mesin ATM menerusi akaun semasa, simpanan atau kad kredit.

Hafsah berkata RHB Bank dan SME Corp akan mendekati PKS bagi memindahkan operasi pembayaran mereka kepada ekosistem pembayaran digital yang lebih cekap.

“PKS juga akan mendapat akses terus ke pelbagai pilihan tanpa tunai melalui SME Corp yang akan dikemas kini secara kerap oleh kedua-dua RHB Bank dan PayNet,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata bank itu mahu mengembangkan pinjaman PKS kepada 9.6 peratus dan meningkatkan penguasaan pasaran PKS kepada 9.2 peratus menjelang akhir tahun.

Pada  tahun kewangan 2017, pertumbuhan pinjaman PKS kumpulan itu mencatatkan 8.8 peratus, berbanding pertumbuhan industri sebanyak 6.3 peratus.

“Dua puluh peratus daripada pinjaman kumpulan itu dijangka disumbangkan oleh pembiayaan PKS menjelang 2022,” kata Khairussaleh.

Setakat ini katanya bank itu menguasai sembilan peratus pasaran PKS pada 2017 berbanding 8.7 peratus pada 2015 dan tujuh peratus pada 2014. — Bernama

Advertisement