Anda di sini

Konsert Akhir Ceria Megastar malam esok, ‘live’ di Astro Ceria

Advertisement
CHUBBE
CHUBBE
HAZURY
HAZURY

SETELAH sembilan minggu bersiaran, Ceria Megastar, program yang menghimpunkan para peserta terbaik daripada empat program realiti pencarian bakat di Malaysia iaitu Ceria Popstar, Ceria All Stars, Ceria i-Star dan Bintang Kecil kini berada di minggu akhir.

Jumaat lalu menyaksikan pengacara program, Nabil Ahmad, mengumumkan secara rasmi lima barisan finalis Ceria Megastar selepas Iqbal dan peserta duo, Warissa (Wafiy & Erissa) berjaya merebut dua tempat terakhir untuk melayakkan mereka berentap di pentas final.

Ini bermakna, kelima-lima finalis terdiri daripada Vanessa, Chubbe, Hazury, Warissa dan Iqbal layak ke pentas akhir malam esok.

Untuk rekod, Vanessa, Chubbe dan Hazury telah terlebih dahulu menempa nama di pentas akhir apabila mereka bertiga berjaya menduduki kedudukan tiga tertinggi dalam carta pemarkahan pada minggu suku akhir sekaligus melayakkan mereka untuk mendapat tiket terus ke pentas akhir.

IQBAL
IQBAL
VANESSA
VANESSA

Vanessa akan menyampaikan lagu ‘Bunga’ nyanyian Ara, Chubbe pula akan mempersembahkan lagu ‘Khazanah Dari Malaya’ nyanyian Ayati Tasrip dan Hazury pula bakal mempersembahkan lagu ‘Fantasia Bulan Madu’ nyanyian Search.

Sementara itu, Warissa akan mempertaruhkan lagu nyanyian Meet Uncle Hussein, ‘Lagu Untukmu’ manakala Iqbal pula akan membawakan lagu nyanyian Haqiem Rusli, ‘Segalanya’.

WARISSA
WARISSA

Kini, debaran semakin kencang. Kelima-lima mereka bakal berdiri di pentas akhir Ceria Megastar pada Jumaat ini (esok) untuk merebut takhta terunggul, ‘MEGASTAR’ dan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi.

Tiga finalis akhir turut mendapat hadiah saguhati sebanyak RM5,000 dan sebuah trofi.

Persembahan kelima-lima peserta akhir akan diadili oleh juri tetap, Datuk Aznil Haji Nawawi dan Johan serta juri jemputan, Mas Idayu.

Hanya seorang sahaja peserta yang bakal dinobatkan sebagai juara Ceria Megastar. Siapakah beliau?

Sama-sama kita saksikan siaran langsung Konsert Akhir Ceria Megastar pada Jumaat ini, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611) serta siaran serentak di Astro Prima (saluran 105), Astro Maya HD (saluran 135) dan di platform digital, Astro GO.

Advertisement