Anda di sini

Jasa dan pengorbanan guru disanjung tinggi

Advertisement

LABUAN: Majlis sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2018 yang bertemakan ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’, telah berlangsung dengan penuh ceria dan harmoni di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Sambutan Hari Guru itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi serta prestasi tinggi yang ditunjukkan oleh para guru bagi melahirkan modal insan dalam merealisasi transformasi negara dapat dicapai.

Katanya, sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara iaitu sebagai agen menyempurnakan akhlak.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin menyeru guru-guru di sini memastikan roh guru sentiasa mendarah daging dalam setiap diri guru, seterusnya mengangkat harga dan maruah diri pelajar di pulau ini.

BASHIR (lima kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Zaleha sambil diperhatikan Raisin (empat kiri) dan tetamu yang lain.
BASHIR (lima kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Zaleha sambil diperhatikan Raisin (empat kiri) dan tetamu yang lain.

"Justeru, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas dari cara biasa kepada luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta 'world class thinking'," katanya.

Pada majlis itu, Hajah Zaleha Haji Kurus telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2018 atas sumbangan bakti penuh dedikasi yang telah dicurahkan kepada dunia pendidikan.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdil Hamid, Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan Haji Mohd Yusof Samad, Pengetua SMK Labuan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Ismail Abdullah, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Labuan Jaafar Matusin dan Pengerusi Persatuan Pesara

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Labuan Datin Hajah Dayang Pungut Abdul Jalil.

Sementara itu, SK Bukit Kalam telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penampilan Terbaik sepanjang Majlis Sambutan Hari Guru 2018 berlangsung.
Turut disampaikan ialah Anugerah Anak Guru Cemerlang.

Pada majlis itu juga, Bashir melancarkan buku Pembelajaran Abad Ke-21 Jabatan Pendidikan Labuan.

Advertisement