Anda di sini

Dua lelaki disyaki miliki mata wang palsu direman dua hari

Advertisement

MIRI: Dua lelaki yang ditangkap kerana disyaki memiliki 88 keping wang palsu (mata wang Singapura) diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kedua-dua suspek yang berusia 52 dan 49 tahun masing-masing dari Min Sing Garden, Jalan Riam di sini dan Taman Bandar Jaya, Bintulu diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri sehingga 4 Mei ini.

Berdasarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mohammad Faeze Azwansafuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Miri, kedua-dua suspek telah ditangkap sekitar jam 1 petang, 1 Mei lalu berhubung satu laporan polis yang diterima daripada seorang pengurus syarikat pengurup wang.

Dalam laporannya, pengadu mendakwa sekitar jam 10.40 pagi hari sama, ketika berada di premisnya, beliau mengesyaki 88 keping mata wang Singapura not SD10 yang diserahkan oleh dua lelaki untuk tukaran disyaki palsu.

Setelah membuat semakan menggunakan mesin pengira wang dan perbandingan dengan wang asal Singapura, pengadu mendapati not-not yang diserahkan dua lelaki terbabit berbeza dengan wang asal Singapura.

Di hadapan mahkamah, Faeze memberitahu memandangkan siasatan lanjut masih belum dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, justeru dipohon reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kedua-dua suspek terbabit.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman selama dua hari ke atas mereka.

Advertisement