Anda di sini

Safran pilih Sendayan kerana bekalan sumber yang banyak

Advertisement
 Kenny Chang semasa ditemu ramah oleh pemberita Bernama di syarikat Safran Landing Systems Malaysia Sdn Bhd di Sendayan, semalam. — Gambar Bernama
UNGGUL: Kenny Chang semasa ditemu ramah oleh pemberita Bernama di syarikat Safran Landing Systems Malaysia Sdn Bhd di Sendayan, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Negeri yang mempunyai penduduk yang boleh berbahasa Inggeris serta bekalan pekerja mahir yang ramai adalah antara sebab mengapa Safran, pembekal terkemuka bagi brek karbon untuk pesawat komersil memilih Sendayan di sini sebagai pangkalannya untuk rantau Asia.

Safran telah mendirikan kilangnya, Safran Landing Systems Malaysia Sdn Bhd, khusus dalam pembekalan cakera karbon untuk brek pesawat komersil pada 2013 untuk menangani keperluan perniagaan syarikat penerbangan yang berkembang pesat di rantau ini.

Ia adalah kilang Safran ketiga dengan kemudahan yang sedia ada di Perancis dan Amerika Syarikat.

Bercakap dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di sini, Pengurus Besarnya, Kenny Chang berkata, lokasi juga menjadi faktor utama dalam memilih pangkalan untuk operasinya.

“Sebahagian daripada sebab yang kami perlu berada di Asia adalah kerana kami mahu berada dekat dengan (bersebelahan) syarikat penerbangan kami. Lokasi Sendayan adalah sangat dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Hari ini, kami dapat menyerahkan brek kami dalam masa empat hari, bermakna kami menerima pesanan dan dalam masa empat hari kami menyerahkannya  kepada pelanggan kami. Ini merupakan pencapaian yang luar biasa bagi kami,” katanya.

Chang berkata, dasar kerajaan yang mesra perniagaan juga merupakan sebahagian daripada sebab mengapa Sendayan menjadi pilihan utama kumpulan itu.

“Kami menerima banyak bantuan daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, cabang pelaburan kerajaan negeri, Pusat Pelaburan Negeri Sembilan, di mana mereka sangat membantu.

“Sejak awal penubuhan perniagaan, kami mendapat kelulusan pihak berkuasa tanpa sebarang masalah kerana mereka terlibat dan membantu kami untuk membina perniagaan kami.

“Secara keseluruhan, dengan peraturan alam sekitar dan lain-lain, kami berpendapat kami mempunyai panduan dan sokongan yang baik daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya

Mengenai pengeluaran, Chang berkata, kilang itu yang mempunyai 120 pekerja mahir tempatan, telah mencapai kapasiti maksimum  sebanyak 300 tan metrik  setahun, sambil menambah bahawa kilang itu masih boleh berkembang sebanyak 30 peratus daripada kapasiti semasa.

Pada masa ini, syarikat itu mempunyai kira-kira 130 syarikat penerbangan, yang meliputi seluruh rantau Asia seperti India, Indonesia, Taiwan, China dan Jepun, dengan AirAsia sebagai pelanggan terbesar.

Sementara itu, seorang daripada jurutera perintisnya, Fadli Mohd Amar yang bersama Safran sejak penubuhan kilang itu pada 2013 berkata, ia adalah satu rahmat untuk bekerja dengan syarikat bertaraf dunia.

“Saya adalah jurutera terawal diambil bekerja. Ini juga memberi gambaran kepada masyarakat luar bahawa anak-anak tempatan juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pembukaan kilang Safran memberi impak yang besar ketika itu kerana industri kapal terbang dalam negara sedang meningkat,” katanya.

Safran adalah antara syarikat bertaraf dunia yang beroperasi di negeri ini selain Coca-Cola Bottlers (M) Sdn Bhd dan Kayaku Safety Systems (M) Sdn Bhd dari Jepun, yang merupakan antara pembekal utama inflator beg udara kereta dan generator gas mikro dalam tali pinggang keselamatan.

Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan asing dan domestik berjumlah RM27.42 bilion daripada 2004 hingga 2017, dengan pelabur asing merupakan penyumbang terbesar sebanyak 71 peratus atau RM18.13 bilion.

Menurut portal kerajaan negeri, Korea Selatan adalah pelabur terbesar dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion, diikuti Jepun (RM1.8 bilion), China (RM1.2 bilion), Singapura (RM1.1 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu UAE, RM1.0 bilion.

Lima sektor industri utama adalah elektrik dan elektronik yang melibatkan pelaburan sebanyak RM4.9 bilion serta penciptaan 7,730 pekerjaan, diikuti oleh mineral bukan logam (RM3.4 bilion, 3,555 pekerjaan) dan  kimia dan bahan kimia (RM2.8 bilion, 2,843 pekerjaan). — Bernama

Advertisement