Anda di sini

Reka bentuk Proton bakal dapat sentuhan baharu daripada Geely

Advertisement

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (Proton), yang kini diperkasa oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), sedia untuk memanfaatkan teknologi canggih dan kepakaran reka bentuk milik rakan strategiknya.

Pengguna boleh mengharapkan reka bentuk yang lebih ‘segar’ bertaraf global daripada Proton, juga kemungkinan termasuk versi naik taraf model sedia ada.

Ini berikutan Naib Presiden Kanan Bahagian Reka bentuk Geely, Peter D. Horbury, yang sebelum ini mengetuai pasukan reka bentuk di Volvo dan Ford, memaklumkan bahawa beliau akan turut meninjau rekaan model-model Proton.

Horbury, warga Inggeris yang bertanggungjawab memperkenalkan reka bentuk Volvo keluar daripada bentuk kotak dan gril radiator varian Lincolns untuk Ford, adalah antara pereka utama di sebalik perkembangan pesat Geely.

Setiap produk baharu Geely bergantung pada sentuhan atau sokongan Horbury bagi reka bentuk.

Horbury memberitahu wartawan dan penganalisis kereta Malaysia semasa Pameran Automotif Antarabangsa Beijing (Auto China 2018) baru-baru ini bahawa beliau berpandangan, pembuat kereta perlu mempertimbang budaya tempatan dan beliau biasanya mengambil ciri-ciri sesebuah negara dan menerapkannya dalam reka bentuk produk.

“Terdapat banyak komponen dan bahagian-bahagian kenderaan yang memerlukan kerja para pereka bentuk. Jangan risau... mereka akan mempunyai banyak kerja,” kata Horbury dengan senyuman ketika ditanya mengenai nasib kumpulan pereka bentuk Proton.

Horbury terkenal kerana hasil reka bentuknya untuk Volvo dan telah bekerja dalam pelbagai peranan dalam industri automotif, termasuk sebagai pengarah reka bentuk eksekutif, Amerika untuk Ford antara 2004 dan 2009.

Berperanan sebagai ketua pereka Geely sejak 2011, Horbury berkata Proton mungkin boleh terus menghasilkan reka bentuk mereka kerana Geely Group mempunyai pasaran global dan kepakaran dari Proton boleh diserap dan diguna pakai dalam pasaran lain juga.

Berkongsi rancangan pertumbuhan yang agresif di Geely, Horbury berkata, hakikat bahawa mereka boleh membangunkan logam lembaran untuk prototaip kereta seiring pasukan reka bentuk, adalah sangat mengagumkan.

“Walaupun sesetengah syarikat hanya membangunkan replika plastik atau prototaip maya, kami boleh menukar idea reka bentuk kepada prototaip besi yang bergerak, dalam tempoh 18 bulan,” katanya.

Geely Auto, jenama milik persendirian terbesar China, menampilkan buat pertama kalinya model sedan tenaga baharu -- Bo Rui GE, dan kereta konsep futuristik baru, Icon Concept -- pada pembukaan Auto China 2018 di Beijing, China, pada 25 April.

“Sebagai kenderaan hibrid plug-in, Bo Rui GE membawa Geely satu langkah lebih dekat untuk memenuhi inisiatif ‘Blue Geely’ di mana kami merancang untuk menghasilkan produksi kenderaan tenaga baharu secara pukal pada 2020, “kata Horbury.

Enjin sedan Bo Rui GE mempunyai pilihan versi elektrik hibrid (PHEV) yang menggunakan 1.5 Turbo (T) dan tujuh transmisi dwi-klac yang dibangunkan  secara bersama oleh Volvo dan Geely, mampu mengurangkan penggunaan bahan api kepada hanya 1.6 liter (L) setiap 100 kilometer (km).

“Bo Rui GE merangkumi aspirasi Geely yang bercita-cita tinggi. Ia mewakili standard baru untuk tenaga baharu,” kata Horbury pada pelancaran produk sedan tersebut semasa Auto China 2018 yang berlangsung dari 25 April hingga 4 Mei.

China telah muncul sebagai pasaran terbesar dalam industri kereta global, menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jualan global dengan 30 juta kereta baru setiap tahun.

Pembelian Volvo dari Ford pada 2010, telah membantu Geely mendapat kepakaran segera untuk penyelidikan dan pembangunan, sesuatu yang memakan masa beberapa dekad.

Selain pembelian 49.9 peratus kepentingan dalam Proton dan 51 peratus Lotus Advance Technologies Sdn Bhd (Lotus) daripada Proton, Geely juga memperoleh jenama antarabangsa utama lain seperti Mercedes Benz, Lynk & Co dan London Electric Vehicle Company (LEVC).

Memandangkan Proton telah menjadi sebahagian daripada kumpulan auto yang maju dari segi teknologi dan berpotensi menguntungkan, ia sememangnya mempunyai alasan untuk optimistik dalam prospek perkongsian teknologi kereta dan evolusi reka bentuk. — Bernama

Advertisement