Anda di sini

Penampang alami perubahan pembangunan lebih mampan dengan mandat BN: Mandela

Advertisement
 Salleh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Mandela (kiri) dan Peter ketika menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Sigah Kampung Tuavon malam kelmarin. — Gambar Bernama
BINCANG: Salleh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Mandela (kiri) dan Peter ketika menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Sigah Kampung Tuavon malam kelmarin. — Gambar Bernama

PENAMPANG: Kawasan Penampang, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kota Kinabalu, bakal mengalami perubahan pembangunan lebih mampan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Calon BN di kerusi itu, Ceasar Mandela Malakun, 28, berkata Penampang, sebuah subbandar, tidak akan tercicir daripada arus pembangunan dengan mandat yang diberikan kepada parti itu dapat menghubungkan suara rakyat, khususnya golongan muda di daerah itu kepada kerajaan.

Beliau melahirkan komitmen bagi merealisasikan manifesto BN di peringkat nasional dan negeri Sabah yang antara lain memberi penekanan untuk menyediakan tiga juta peluang pekerjaan kepada belia termasuk di Sabah dalam lima tahun akan datang demi memperhebatkan kualiti serta bakat mereka.

“(Peluang dalam) Sektor pelancongan di Penampang juga cukup banyak kerana daerah ini memiliki keindahan alam semula jadi dan keunikan budaya dengan masyarakat pelbagai kaum.

“Ini juga akan saya ketengahkan bagi membolehkan penduduk setempat dan usahawan muda dapat menjana ekonomi menerusi sektor pelancongan,” katanya berkata kepada pemberita selepas program bersama rakyat di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua UMNO Bahagian Penampang Datuk John Ambrose dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin.

Mandela berkata, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Penampang juga akan ditingkatkan bagi membolehkan daerah itu menjadi perintis serta hab ICT di Sabah.

“Saya  juga akan memberi tumpuan dalam memastikan pengurusan pihak berkuasa tempatan (di Penampang) lebih telus dan efisien,” katanya.

Bagi PRU14, beliau akan berdepan pertandingan empat penjuru menentang penyandang kerusi Parlimen itu, Ignatius Dorell Leiking daripada (Parti Warisan Sabah), Cleftus Stephen Spine (Parti Solidariti Tanahairku) dan Edwin Bosi (Parti Kerjasama Anak Negeri).

Dorell, yang mewakili PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 10,216 undi pada PRU13. — Bernama

Advertisement