Anda di sini

Kilang Geely di Baoji capai 80 peratus automasi untuk jaminan kualiti konsisten

Advertisement
 Kilang Proton Holdings Bhd, Geely Auto Group dilengkapi dengan 155 robot Comau dari Itali dan automatik sepenuhnya yang terletak di Baoji, China. — Gambar Bernama
TERKEMUKA: Kilang Proton Holdings Bhd, Geely Auto Group dilengkapi dengan 155 robot Comau dari Itali dan automatik sepenuhnya yang terletak di Baoji, China. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kemudahan pembuatan automotif Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Zon Pembangunan Hi-Tech Baoji, China, yang dilengkapi dengan teknologi robot terkemuka di dunia mencapai automasi keseluruhan 80 peratus.

Pencapaian berkenaan melonjak imej pengeluaran China yang selama ini terkenal dengan model pengeluaran manual.

Operasi automatiknya sepenuhnya pada semua barisan pengeluaran memastikan kualiti dan ketepatan kimpalan yang konsisten, manakala perkakasan berkualiti tinggi menghasilkan produk berkualiti tinggi. Majoriti wartawan auto dan penganalisis Malaysia bersependapat dalam rumusan ini semasa lawatan ke kilang  tersebut baru-baru ini.

“Kilang Baoji Geely dilengkapi dengan 155 robot Comau dari Itali dan automatik sepenuhnya di semua barisan pengeluaran memastikan kualiti dan ketepatan kimpalan yang konsisten. Automasi keseluruhan kemudahan di sini telah mencapai 80 peratus,” menurut penjelasan pegawai Geely semasa lawatan tersebut.

Kilang Baojii berkenaan telah direka dan dibina pada standard tertinggi untuk menjadikannya kilang kereta bertaraf dunia.

Kilang pembuatan automotif di Baoji itu dirancang dari awal menjadi antara kilang paling maju di dunia selaras dengan strategi pembangunan Geely.

Empat segmen utama - cetakan, kimpalan, cat, dan pemasangan akhir - telah disiapkan pada masa yang sama.

Kemudahan tambahan termasuk loji kuasa, penyimpanan bahan bakar, trek ujian, kemudahan tempat letak kereta, pejabat pengurusan, dan tempat tinggal menyokong pengeluaran dua shif yang boleh menghasilkan lebih dari 200,000 kenderaan setahun.

Kemudahan pembuatan kenderaan Baoji dilaporkan sebagai antara contoh terbaik pembuatan bijak.

Ia dilengkapi teknologi robotik dunia terkemuka dan mempunyai barisan pengeluaran automatik sepenuhnya di bahagian cetakan, kimpalan, dan bengkel cat.

Sebagai contoh, untuk mencapai kecekapan tinggi dan pengeluaran yang selamat, robot linear tujuh paksi termaju dari ABB (Switzerland) digunakan di kilang Baoji, dan ia mampu menghasilkan sehingga 14 kepingan plat keperluan setiap minit.

Kimpalan robotik automatik pula mengguna pakai teknologi kimpalan CMT (Cold Metal Transition) dari Fronius, Austria, yang boleh mengurangkan kerosakan keluli dan mengelakkan kecederaan pekerja berbanding kimpalan manual.

Ruang lantai bengkel kimpalan berukuran lebih dari 26,000 meter persegi dan mengandungi barisan pengeluaran berautomasi dan pintar yang mampu memenuhi keperluan pengeluaran multi-model kollinear secara serentak.

Bengkel cetak yang merangkumi kawasan seluas 12,000 meter persegi mempunyai dua barisan pengeluaran automatik sepenuhnya, menggunakan robot dari Jepun Amino Corp untuk menjalankan empat proses urutan yang mampu menghasilkan plat dalaman dan kepingan dalaman.

Pembinaan kilang Baoji bermula pada Mac 2014 dengan kenderaan pertama dihasilkan pada Jun 2016.

Model terlaris Geely - Boyue, yang dilaporkan bakal menjadi platform untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton Holdings Bhd, dihasilkan di kilang Baoji ini.

Jumlah pelaburan di kilang Baoji oleh Geely Group mencapai 7.2 bilion RMB yang meliputi kawasan seluas 896,000 meter persegi dengan ruang kilang yang melibatkan kawasan seluas 776,000 meter persegi.

Kilang Baoji mempunyai sambungan pengangkutan yang mudah ke lebuh raya Lianhuo dan Lebuh raya Nasional 310, serta berhampiran dengan stesen keretapi berkelajuan tinggi Baoji dan Lapangan Terbang Antarabangsa Xi’an, turut membangunkan dan mengeluarkan enjin.

Pelaburan di kilang enjin berjumlah 4.5 bilion RMB meliputi kawasan lebih 230,000 meter persegi. Kemudahan ini mempunyai tiga saluran pemesinan dan satu barisan pemasangan yang akan menghasilkan enjin tiga silinder 1.5T (turbo) yang dibangunkan secara bersama dengan Volvo.

Pada masa ini, kilang Boaji mempunyai 2,400 pekerja operasi kilang dan 500 sokongan / pentadbiran / kakitangan operasi dengan sasaran memasang 800 kereta sehari.

Geely menjual 1.24 juta kenderaan pada tahun lepas, melebihi jualan tahun sebelumnya sebanyak 63 peratus dan melangkaui sasaran jualan awal sendiri iaitu sebanyak 1.1 juta unit.

Model Boyue yang dilaporkan akan menjadi SUV pertama Proton dan dijadual dilancarkan di pasaran Malaysia tahun ini, adalah model terlaris Geely pada  tahun lepas. Ia dijual pada purata lebih 30,000 unit sebulan yang menghasilkan jumlah jualan 286,900 unit tahun lepas. — Bernama

Advertisement