TAWAU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) mengesahkan 70 lagi geran dana khas ehsan Youth Entreprenuership Scheme Sabah (YES) akan disalurkan ke akaun penerimanya, selewat-lewatnya pada Jumaat ini.
Pegawai KBSS Bahagian Tawau Jamil Jilap berkata kesemua mereka terdiri daripada individu dan kumpulan penerima yang masih belum menerima geran terbabit.

“Kelewatan berlaku kerana wujud masalah apabila penerima memasukkan butiran nombor akaun bank yang tidak lengkap, selain memberikan akaun yang tidak aktif.
“Bagaimanapun, kita sudah mengadakan perbincangan bersama bank bertangunggjawab dan semua masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya, di sini pada Selasa.
Jamil berkata sebelum ini pemberian awal geran serupa yang bernilai RM2, 000 untuk individu dan RM5, 000 untuk berkumpulan sudah diberikan kepada lebih 30 penerima.
Menurutnya, geran itu diberikan kepada belia untuk memulakan perniagaan, ilham asal oleh bekas Menteri Belia dan Sukan Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Jawapan itu sebagai maklum-balas susulan pertanyaan daripada calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat.
Pertanyaan terbabit dilontarkan oleh Hamisa selepas menerima keluhan daripada anak muda yang juga penerima bantuan itu yang tinggal di kawasan DUN Tanjung Batu.
“Kita mengajukan pertanyaan warga belia di kawasan ini kepada pihak berkaitan, yang diharap dapat membantu memberikan penjelasan berhubung status sebenar geran mereka.
“Ini adalah konsep biasa yang diamalkan di dalam kepimpinan BN, apabila menerima aduan rakyat, kita akan berusaha untuk membantu menyelesaikannya,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan disifatkannya banyak memberikan kemudahan kepada rakyat termasuk anak muda, yang secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan.
“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan inisiatif, kini tinggal generasi anak muda tingkatkan usaha untuk merebut peluang demi kebaikan mereka,” katanya.