Anda di sini

Elvira dinobatkan sebagai juara Mentor Otai yang pertama

Advertisement
 

PADA malam Ahad lepas, Elvira membuktikan walaupun pernah menduduki di tangga dua terbawah semasa konsert minggu ketiga Mentor Otai, dia masih lagi boleh menundukkan rakan-rakan seperjuangannya yang lain seperti Azee (Naib Johan), Alina (ketiga) dan AJ (keempat) untuk merangkul gelaran Juara Mentor Otai yang pertama.

Dengan kemenangan itu, Elvira membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi pertama Mentor Otai.

Dalam konsert akhir itu, Elvira telah mempersembahkan lagu ‘Bukan Dia Tapi Aku’ secara solo dan ‘Nur Nilam Sari’ secara duet bersama Azlan Typewriter.

Kedua-dua persembahannya itu telah menambat hati majoriti juri awam yang terdiri daripada wakil industri hiburan tanah air dan meraih 19 peratus undian.

Menurut juri tetap Mentor Otai, Edry Abdul Halim, “Sememangnya saya amat minat dengan nada suara Elvira semenjak konsert pertama lagi. Tambahan pula, selain daripada persembahan-persembahannya yang sentiasa bertenaga, Elvira kreatif dan mempunyai originalitinya sendiri.”

“Elvira pandai mengubah susunan lagu asal menjadikan lagu itu lagunya sendiri. Itu yang menjadikan Elvira layak digelar Juara Mentor Otai ini,” tambah Edry.

Sementara itu, Misha Omar iaitu Mentor kepada Elvira berkata, perjalanan beliau sebagai mentor dalam program ini merupakan satu pengalaman yang amat berharga. “Terutamanya kerana hubungan saya dengan Elvira seperti ibu dan anak. Kami begitu rapat sehinggakan setiap jatuh bangun Elvira dalam program ini dapat saya rasakan. Terutamanya apabila Elvira pernah menduduki tempat kedua terbawah pada konsert kedua (minggu ketiga) suatu ketika dahulu,” katanya.

“Namun, pada malam ini (Ahad), Elvira telah ketepikan semua tenaga negatif dan mempelajari setiap kesilapannya sehingga saya berasa amat berbangga dengan Elvira.

“Saya harap selepas Mentor Otai ini, Elvira tidak akan berhenti menyanyi dan terus belajar. Kepada penyokong Elvira, teruslah menyokong karier Elvira, kerana Elvira mampu pergi jauh lagi,” tambah Misha lagi.

Pada malam itu, Azee (protege Zarul Husin) telah merangkul gelaran Naib Juara Mentor Otai dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 serta trofi. Manakala Alina (protege Siti Sarah) mendduki tempat ketiga dan membawa pulang RM20,000 serta trofi meninggalkan AJ (protege Tam Spider) di tempat keempat dan membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Menyingkap kembali Pentas Akhir Mentor Otai pada malam itu, suasana studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam amat meriah terutamanya dengan persembahan Kugiran Masdo sebagai pembuka tirai dengan lagu ‘Bercanda dan Mas Mona’.

Kemudian, Pentas Akhir Mentor Otai diteruskan dengan persembahan oleh protege-protege.

Sementara itu, persembahan penutup Pentas Akhir Mentor Otai akan disampaikan oleh Saleem dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’.

Konsert akhir Mentor Otai yang dihoskan oleh Haziq Hussni (Hot FM) dan Elly Mazlein bersiaran secara langsung pada Ahad lepas bermula jam 9.00 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menonton siaran langsung Pentas Akhir Mentor Otai ini, saksikan siaran ulangannya pada Jumaat, jam 9.30 pagi di TV3 atau di portal video tonton (www.tonton.com.my).

Advertisement