Anda di sini

Belia diajak bersama ‘kerajaan masa depan belia’

Advertisement
 Yusof secara santai berdialog bersama belia di Lahad Datu, kelmarin.
SERTAI KERAJAAN: Yusof secara santai berdialog bersama belia di Lahad Datu, kelmarin.

LAHAD DATU: Belia diajak terus menyokong kerajaan yang mengutamakan usaha pemerkasaan golongan itu menghadapi cabaran pembangunan masa depan.

Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal berkata selaras dengan aspirasi belia dalam membina dan memeta hala tuju masa depan negara, Transformasi Nasional 2050 (TN50) mengambil kira kemahuan belia.

Katanya, kerajaan juga terus komited membela pemerkasaan belia dengan meletakkan belia sebagai penggerak pembangunan negara dalam dasar pendidikan, pertanian, perladangan dan lain-lain yang melibatkan pengkhususan dana khas serta latihan kemahiran.

“Pelbagai bentuk peluang dan ruang untuk memperkasakan belia di bandar dan luar dilaksana yang mencakupi pelbagai bidang yang diminati belia.

“Jadi, janganlah biarkan kerajaan masa depan belia ini dimusnahkan kerana kerajaan inilah yang sejak awal lagi membela kepentingan belia,” katanya.

Beliau yang juga penyandang dan calon Dewan Undangan Negeri Lahad Datu berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan / Kelab Belia Lahad Datu, di sini pada Isnin.

Yusof turut meminta agar belia membuat pilihan tepat sebelum mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan membuat penilaian matang.

Katanya, pelbagai isu dan desakan dalam kempen-kempen pihak pembangkang tidak lebih dari umpan semata-mata namun pelaksanaan dan corak pelaksanaannya belum terbukti dan belum pasti.

“Saya berharap belia membuat analisis perbandingan yang bukan bukan untuk diri tapi lihatlah secara luas kerana keputusan undi anda adalah penentu dan jaminan masa depan diri dan anak cucu kita,” katanya.

Pada majlis itu, jawatankuasa persatuan belia berpeluang beramah mesra bersama Yusof dalam suasana santai dan ceria.

Turut hadir ialah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Lahad Datu Irwan Iskandar.

Advertisement