Anda di sini

Tolak pihak guna isu perkauman dalam raih sokongan

Advertisement
Sapawi dan Hafez merakamkan kenangan bersama jentera Puteri Umno Sipitang di majlis itu.
SAPAWI dan Hafez merakamkan kenangan bersama jentera Puteri Umno Sipitang di majlis itu.

SIPITANG: Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sindumin Datuk Sapawi Ahmad meminta rakyat menolak pihak yang menggunakan isu perkauman bagi meraih sokongan dan undi.

“Rakyat tidak harus membiarkan diri mereka terpengaruh dengan pihak yang menggunakan isu perkauman untuk mendapatkan sokongan... pihak itu sebenarnya mahu menghapuskan kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati ketika ini,” katanya pada program santai bersama Puteri Umno Sipitang di Kampung Pelakat, di sini pada Ahad.

Beliau berkata rakyat perlu sedar bahawa BN memperjuangkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang pelbagai kaum dan berusaha memastikan kesejahteraan serta kemakmuran yang dinikmati terus berkembang.

 

Katanya dakwaan bahawa BN mengamalkan pilih kasih adalah tidak benar sebaliknya, usaha yang dilakukan oleh BN adalah untuk rakyat keseluruhannya tanpa mengira suku kaum dan anutan agama.

“Rakyat negara ini menikmati kesejahteraan serta kemakmuran dan ini adalah usaha yang dilakukan oleh BN secara berterusan,” katanya dan menambah, hanya BN yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat dan sentiasa berusaha untuk membantu.

Sapawi turut meminta agar rakyat menolak pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

Katanya pemimpin itu sebelum ini tidak pernah muncul dan tidak pernah tampil untuk membantu rakyat.

“Ketika bencana alam atau ketika rakyat berhadapan masalah pemimpin itu tidak pernah muncul dan yang muncul serta membantu adalah pemimpin BN.

“Sikap pemimpin itu amat jelas bahawa mereka hanya berjuang untuk memenuhi kepentingan diri dan bukannya untuk rakyat,” katanya.

Hadir sama ialah calon BN Parlimen Sipitang Yamani Hafiz Musa dan Ketua Puteri Umno Sipitang Suzie Hamat.

Advertisement