Anda di sini

Thailand bebas bekas editor dipenjara kerana hina raja

Advertisement
 Somyot menerima bunga ros daripada penyokong yang menyambut pembebasannya              di luar penjara Bangkok di Thailand semalam. — Gambar Reuters
BEBAS: Somyot menerima bunga ros daripada penyokong yang menyambut pembebasannya di luar penjara Bangkok di Thailand semalam. — Gambar Reuters

BANGKOK: Seorang aktivis berprofil tinggi dan bekas pengarang majalah Thai yang dipenjarakan kerana menghina monarki di negara ini berjanji semalam akan meneruskan seruannya bagi demokrasi selepas dia dibebaskan dari penjara.

Kerajaan tentera Thailand, diketuai oleh bekas ketua tentera Prayuth Chan-ocha, sudah beberapa kali menangguhkan pilihan raya umum, dengan tarikh terbaharu ditetapkan pada Februari 2019.

“Menyeru bagi demokrasi, terutama pilihan raya, adalah bagus,” Somyot Prueksakasemsuk, 56, memberitahu wartawan di luar penjara, di mana kira-kira 100 penyokong menyambut pembebasannya.

“Saya akan menggunakan hak saya sebagai seorang rakyat Thai untuk menyertai pergerakan ini dan saya menjemput orang ramai agar menyokong permintaan bagi pilihan raya secepat mungkin.”

Sejak awal tahun, terdapat bantahan jalanan yang berleluasa diketuai oleh golongan pelajar menyeru bagi pilihan raya dan bagi kerajaan tentera agar meletakkan jawatan.

 “Saya meminta kerajaan agar tidak menggunakan muslihat bagi menangguhkan pilihan raya sekali lagi, kerana ini adalah tidak baik untuk ekonomi dan sektor lain di negara ini,” tambah Somyot.

Somyot, yang merupakan pengarang majalah politik, “Voice of Taksin”, dipenjarakan selama 10 tahun di bawah undang-undang ‘lese-majeste’ di Thailand, namun Mahkamah Agung meringankan hukumannya pada  2017.

“Berada di dalam penjara adalah satu bentuk keadaan yang tidak menggembirakan dan seksaan,” kata Somyot.

Penasihat utama perunda-ngan junta memberi amaran kepada Somyot agar tidak melanggar undang-undang.

“Sekiranya dia terlibat dalam aktiviti politik dan melanggar undang-undang... maka kami perlu untuk meneruskan dengan tindakan perundangan terhadap dia,” Kolonel Burin Tongprapai memberitahu Reuters.

Sejak rampasan kuasanya pada 2014, pihak junta, dikenali secara rasmi sebagai  Suruhanjaya Negara bagi Kedamaian dan Perundangan, berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang lantang mengkritik monarki dan mahkamah sudah menjatuhkan banyak hukuman untuk penghinaan diraja.

Undang-undang ‘lese-majeste’ di Thailand adalah yang paling tegas di dunia.

Ia menjadikan satu jenayah bagi semua bentuk penghinaan terhadap monarki dan menjatuhkan hukuman penjara selama hingga 15 tahun bagi setiap tuduhan yang menghina raja, ratu, pewaris atau kerabat, walaupun ia ditafsir turut merangkumi raja-raja yang sudah mangkat.

Dikenali sebagai seksyen 112 dalam akta jenayah, ia mendapat kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi yang menyatakan penuduh selalu menyalahgunakannya bagi kepentingan politik.

Sekurang-kurangnya 94 sudah didakwa bagi ‘lese-majeste’ sejak rampasan kuasa. Seramai 43 dijatuhkan hukuman, menurut data daripada kumpulan iLaw, yang mengawasi kes penghinaan diraja.

Undang-undang itu mengehadkan apa yang semua organisasi berita, termasuk Reuters, boleh laporkan dari Thailand. — Reuters

Advertisement