Anda di sini

Rompak dan mencederakan: Dua dipenjara 13 tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Dua lelaki antaranya seorang warga asing, dikenakan penjara 13 tahun dan satu sebat, atas kesalahan rompak dan mencederakan seorang wanita.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Arnajir Lajaraib, 25, dan Julasri Mohd Zaki, 31, selepas menukar pengakuan kepada bersalah.

Sepatutnya pada Isnin ditetapkan untuk kedua-dua tertuduh membela diri atas pertuduhan itu.

Mereka merompak mangsa berusia 50 tahun, merampas wang tunai RM6,500, $600 matawang Brunei, jam tangan Rolex, gelang emas, dompet dan sebuah telefon pintar.

Kesalahan dilakukan pada 18 Mac tahun lalu jam 10 malam, di parkir hadapan sebuah kedai, Jalan Gaya, di sini.

Hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Semasa rayuan, peguam Fariz Salleh menyatakan pengakuan salah kedua-dua tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

"Arnajir sudah bercerai dan menanggung dua anak, manakala Julasri yang tinggal di Kampung Kalansanan, Inanam, mempunyai lima anak," katanya dan memohon hukuman diringankan.

Julasri juga menyatakan perlu menghantar anak-anaknya ke sekolah dan menemani ayahnya ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Husna Abdul Halim menegaskan, kedua-dua tertuduh hanya mengaku salah selepas diperintah membela diri.

"Pengakuan salah mereka tidak menjimatkan masa mahkamah. Kesalahan yang dilakukan serius dan sering berlaku," katanya.

Tambahnya, mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau kerana menggunakan dadah, disamping Alnjir juga pernah disabitkan dengan kesalahan imigresen.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman dari tarikh tangkap, dan Alnajir dirujuk ke Jabatan Imigresen, setelah tamat tempoh pemenjaraan.

  • oleh
  • Advertisement