Anda di sini

Rekod BN sudah terbukti

Advertisement
 

TAWAU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meminta orang Sabah memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk membolehkan segala perancangan yang diatur dapat dilaksanakan.

Presiden BN itu berkata agenda perjuangan BN sudah disusun dengan baik malah ‘track record’ kejayaan parti berkenaan sebagai kerajaan memerintah juga sudah terbukti.

NAJIB
NAJIB

“Hasil pertumbuhan negara dapat dipacu sehingga 5.9 peratus, antara yang tertinggi di dunia, malah rizab (antarabangsa Bank Negara Malaysia) kita naik sampai AS$110 bilion.

“Tahun 1999, waktu ‘orang berkenaan itulah’ menjadi Perdana Menteri, rizab (negara) cuma AS$20 bilion, hari ini AS$110 bilion, hutang negara hari ini sudah berapa?
“50.8 peratus daripada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK), waktu ‘orang berkenaan itu’ berapa? Pernah sampai 103 peratus daripada KDNK, siapa lebih boros?” katanya.

Najib berkata demikian semasa menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kalabakan dan Parlimen Tawau di Padang Bandaran Tawau, di sini pada Isnin.

Beliau menyifatkan isu yang ditimbulkan oleh seorang pemimpin kononnya kapal terbang yang hendak dinaiki disabotaj, sebagai tidak masuk akal.

“Nasib baik DCA (Jabatan Penerbangan Awam Malaysia) kata tidak ada sabotaj, syarikat Vista juga kata tidak ada sabotaj, juruterbang itu juga tidak ada buat laporan.

“Tapi dia masih kata sabotaj, ini apa dia? Politik apa ini? Membuyuk! Politik karut-marut. Jangan tabur fitnah, jangan menyesat fikiran rakyat dengan cerita dongeng yang tidak ada asas,” katanya.

Menurutnya, jawapan terbaik untuk berhadapan fitnah adalah menggunakan senjata jasa, kerana hanya jasa kepada rakyat sahaja yang boleh meleburkan fitnah.

“Kita buat jasa kepada rakyat, kita bela rakyat, supaya rakyat tahu memilih pihak yang lebih layak untuk memimpin negara kita ini, sebab itu saya akan terus bekerja.

“Sabah dekat di hati saya dan masih ada agenda yang belum habis, saya hendak pastikan Projek Pan Borneo siap tanpa tol dan hendak bawa lagi projek untuk orang Sabah,” katanya.

Antaranya, berkaitan bekalan air, jalan-jalan luar bandar, perumahan, hospital dan bekalan elektrik yang dimasukkan sebagai agenda BN untuk lima tahun akan datang.

Najib juga percaya Sabah lebih daripada sekadar simpanan tetap BN, malah layak untuk dibangunkan sebagai antara yang termaju di negara ini kerana mempunyai potensi besar.

“Kita perlukan kepimpinan Musa (Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman) dan rakan-rakannya yang terbukti kewibawaannya untuk membawa transformasi di Sabah.

“Sebagai Perdana Menteri, dengan mandat yang diberikan pada PRU untuk lima tahun akan datang (jika BN menang), saya akan tingkatkan lagi usaha untuk memajukan Sabah.

NAJIB bersama para calon BN di kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan melaungkan Tetap BN bersama para penyokong mereka di Padang Bandaran Tawau.
NAJIB bersama para calon BN di kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan melaungkan Tetap BN bersama para penyokong mereka di Padang Bandaran Tawau.

“Kita akan pacu Sabah dengan perubahan demi perubahan,” katanya sambil mendedahkan projek naik taraf Hospital Tawau bernilai RM300 juta sudah diluluskan dan dalam pelaksanaan.

Pada masa sama, beliau mengumumkan BN juga berhasrat untuk menjalankan projek naik taraf Jalan Utara Baru daripada dua lorong menjadi empat lorong dua hala sejauh 5.5km.

Najib juga berjanji akan menambah peruntukan projek baik pulih rumah di Parlimen Kalabakan dan Tawau sekiranya BN berjaya menyapu bersih semua lapan kerusi.

Untuk rekod, lapan kerusi yang terdapat di daerah ini meliputi Parlimen Tawau merangkumi Dewan Undangan Negeri Balung, Apas dan Sri Tanjung serta Parlimen Kalabakan melibatkan Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik.

  • oleh
  • Advertisement