Anda di sini

Rasuah: Sarjan dipenjara, denda RM20,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dikenakan penjara enam minggu dan denda RM20,000, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong juga memerintahkan Abdul Malek A. Bakar, 58, dikenakan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda terbabit dari tarikh sabitan.

Penghakiman itu dibuat setelah pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan kes diluar munasabah, setelah perbicaraan penuh.

Tertuduh sebagai pegawai penyiasat setuju menerima wang tanpa balasan sebanyak RM300 daripada Dinah Gilong, penjamin kepada Dio Romeo Liddoe.

Dio ditangkap polis pada 6 November 2015, atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Kesalahan dilakukan pada 10 November 2015 jam 6.30 petang di bilik Balai Polis Manggatal, di sini.

Sekali lagi tertuduh menerima RM1,000 daripada sepuluh individu melalui Timothy Boriul, yang ditangkap pada 6 November 2016, kerana disiasat dalam kes sama.

Kesalahan dilakukan pada 11 November 2015 jam 11 pagi, di kawasan Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, di sini.

Pada 10 November 2015 jam 5.30 petang, di dalam bilik Balai Polis Manggatal, di sini, tertuduh menerima RM300 daripada J.S Julivin Boby Santong.

J.S Julivin penjamin kepada Van Brawin Santong yang ditangkap pada 6 November 2015, disiasat dalam kes yang sama.

ABD. MALEK (kanan) bersama Ram.
ABD. MALEK (kanan) bersama Ram.

Semua pertuduhan itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh masing-masing dikenakan penjara dua minggu dan denda RM5,000 atau penjara tiga bulan.

Manakala ketiga, pemenjaraan selama dua minggu dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh menangguhkan menjalani hukuman itu dengan syarat jaminan sama sebelum ini, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pegawai Pendakwa Rustam Sanip dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pendakwaan, manakala peguam Ram Singh mewakili tertuduh.

  • oleh
  • Advertisement