Anda di sini

Rakyat jangan pilih 'pembuyuk'

Advertisement
 

TAWAU: Ketua Menteri Tan Sri Musa Hj Aman meminta rakyat Sabah berhati-hati dengan pemimpin pembangkang yang disifatkannya sebagai ‘pembuyuk’ (penipu).
Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Sabah itu menyampaikan mesejnya melalui pantun pada program yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Apa diharap padi seberang, padi rosak akarnya buruk. Apa diharap pemimpin pembangkang, bercakap bohong suka membuyuk,” katanya.

MUSA
MUSA

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kalabakan dan Parlimen Tawau di hadapan ribuan penyokong BN di Padang Bandaran Tawau, di sini pada Isnin.

Menurutnya, rakyat Sabah tidak boleh tersalah pilih atau salah pangkah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebaliknya, rakyat dinasihatkan memangkah simbol dacing.

“Kita sudah bekerja malah kerja kuat dan kita mesti ikhlas dalam bekerja, jangan ada ‘duri dalam daging’, ‘gunting dalam lipatan’ atau ‘api dalam sekam’,” katanya.

Musa berkata perjuangan ataupun kerja keras yang diberikan oleh BN selama ini bukan hanya untuk rakyat sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang.

Malah, BN Sabah juga mempunyai ‘track record’ yang banyak siri kejayaannya justeru rakyat diminta membaca laporan-laporan mengenai kejayaan pentadbiran BN Sabah.

“Perdana Menteri (Najib) kita banyak memberi peruntukan kepada Sabah, dan melantik Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini menjadi Presiden Warisan) sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) (sebelum ini).

“Kementerian itu diberikan peruntukan besar untuk membangunkan Negeri Sabah tetapi ‘habuk pun tiada’ di (Parlimen) Kalabakan dan (Parlimen) Tawau,” katanya.

Pada masa sama, Musa turut mempersoalkan segelintir rakyat Sabah yang dikatakan begitu teruja melaungkan kalimah ‘Ubah Sabah’ yang hala tujunya disifatkan tidak jelas.

Beliau juga mempersoalkan bekas naib presiden Umno itu kerana tidak pernah menemuinya untuk berunding mengenai projek-projek pembangunan KKLW di Sabah.

 MUSA menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kalabakan dan Parlimen Tawau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta calon BN Kalabakan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh, calon BN Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat.
MUSA menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kalabakan dan Parlimen Tawau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta calon BN Kalabakan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh, calon BN Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat.

“Hairannya, apabila dia diganti oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Menteri KKLW, keesokan harinya menteri baharu itu terus menghubungi saya (memperkenalkan diri).

“Beliau (Ismail) meminta untuk datang berunding dengan saya mengenai projek-projek yang boleh dibangunkan (oleh KKLW bersama Kerajaan Negeri) di Sabah.

“Apabila saya dengar ungkapan beliau (Ismail), saya sedih dan malu kerana menteri terdahulu, orang Sabah, tidak pernah telefon atau datang berjumpa dengan saya,” katanya.

Advertisement