Anda di sini

Penjawat awam disaran sentiasa turun padang

Advertisement
PENJAWAT awam yang hadir merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis Penyampaian Amanat Khas berkenaan.
PENJAWAT awam yang hadir merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat pada majlis Penyampaian Amanat Khas berkenaan.

KOTA KINABALU: Penjawat awam disarankan supaya sentiasa turun padang memantau setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap projek pembangunan berjalan lancar.

"Saya menyarankan pegawai kerajaan supaya lebih 'on the ground' melihat sendiri keadaan pelaksanaan projek rakyat supaya ia dapat disiapkan mengikut waktu dan kos yang ditetapkan.

"Ini penting bagi memastikan perkhidmatan kerajaan lebih efisien dan efektif dari segi pelaksanaan projek di Sabah seperti menaiktaraf sekolah daif, projek jalan raya, bekalan air dan elektrik yang sentiasa diberi tumpuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan amanat khas kepada penjawat awam di negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Irwan berkata, kerajaan sentiasa memberi tumpuan khusus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak terutamanya dalam pelaksanaan projek mega seperti Pan Borneo yang bakal merubah landskap kedua-dua negeri itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Katanya, proses seterusnya akan disusuli dengan pelbagai projek seperti mewujudkan bandar-bandar di sekitar laluan Pan Borneo dan juga projek bersifat komersil, pertanian dan sebagainya.

"Untuk memberi sokongan, kita juga dalam perancangan untuk membangunkan infrastruktur, projek janakuasa supaya kawasan pantai timur Sabah tidak berlaku gangguan bekalan elektrik.

"Kita akan terus memperhebatkan lagi pembangunan selepas PRU ini untuk melaksanakan segala janji kerajaan dan akan termaktub dalam Bajet 2019 supaya pembangunan dan pertumbuhan di Sabah lebih pantas dan dapat dikekalkan setiap tahun," katanya.

Terdahulu, lebih seribu peserta terdiri daripada penjawat awam di seluruh negeri ini hadir pada majlis penyampaian amanat khas berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement