Anda di sini

PDB dan Grab perkenal ‘Pit Stop’ untuk pemandu Grab

Advertisement
 Syed Zainal (dua kiri) bergambar bersama (dari kiri) Sean dan Aadrin selepas melancarkan ‘Grab Driver Pit Stop’ di stesen Petronas Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
USAHA SAMA: Syed Zainal (dua kiri) bergambar bersama (dari kiri) Sean dan Aadrin selepas melancarkan ‘Grab Driver Pit Stop’ di stesen Petronas Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Bhd (PDB) dan penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia, bersama-sama melancarkan ‘Pit Stop’ Pemandu Grab, hentian untuk pemandu Grab berehat dan menyegarkan badan sebelum meneruskan perjalanan.

Ketua Perniagaan Runcitnya Aadrin Azly berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik PDB dan Grab bagi menjadikan pemanduan lebih bermakna bagi Rakan Pemandu Grab.

“Fasa pertama projek itu bakal menyaksikan 58 Pit Stop Pemandu Grab dibuka di negeri terpilih di seluruh negara.

“Lima hentian terpilih akan dilengkapi kemudahan tempat duduk eksklusif bagi menambah keselesaan kepada pemandu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pit Stop Pemandu Grab, yang dibuka secara rasmi pada 2 Mei di sini.

Beliau berkata ia merupakan tempat istirahat eksklusif pertama, yang bukan sahaja merupakan tempat selesa kepada semua pemandu untuk kembali cergas, malah dapat menikmati air mineral Mesra atau kopi panas percuma bagi setiap pembelian bahan api RM50, serta tawaran menarik yang lain.

“Pit Stop Pemandu Grab merupakan kawasan ideal untuk pemandu berehat, selari dengan penekanan kami ke atas keselamatan jalan raya (pencegahan) daripada bahaya terlelap.

“Inisiatif ini merupakan usaha berterusan kami dalam meningkatkan nilai penawaran kepada Grab, yang termasuk insentif khas, diskaun dan program kesetiaan. Kami mahu semua pemandu Grab mengetahui bahawa hanya di Petronas menyediakan nilai, perkhidmatan dan produk terbaik,” katanya.

Sebagai rakan PDB, rakan pemandu Grab juga akan menikmati rebat menarik ke atas bahan api sehingga RM22 sebulan menerusi Program Penjimatan Bahan Api.

Program itu yang sebelum ini terpakai hanya untuk pemandu berprestasi tinggi terpilih, kini dilanjutkan kepada pemandu Silver, Gold dan Platinum dalam Program GrabAlIStars.

Selain itu, semula Rakan Pemandu Graf berprestasi tinggi, yang berhak menerima Kad Mesra Grab eksklusif, boleh menikmati 6X mata Mesra (sebelum ini 5X) seliter bahan api, tawaran kutipan mata tertinggi dalam industri itu.

Selain itu, semua rakan pemandu Grab yang berdaftar sebagai ahli kad Mesra, secara automatik menerima manfaat Kemalangan Peribadi Mesra, menyediakan manfaat Kemalangan/Hospital dan Kematian sehingga RM50,000 menerusi Program Axxess.

Ahli boleh memilih untuk meneruskan langganan dengan hanya RM1 (100 mata Mesra) sebulan, ketika berbelanja minimum RM100 sebulan di mana-mana stesen Petronas di seluruh negara.

Lima premis lengkap kini beroperasi di Petronas Station (PS) Mutiara Damansara, PS Jalan Jelatek 2, PS KLIA2, PS East West Link, dan PS Sprint Highway.

Menjelang akhir tahun. ia menyasarkan perhentian seperti itu disediakan di setiap bandar yang menawarkan perkhidmatan Grab.

PDB ialah cabang pemasaran domestik Petroliam Nasional Bhd (Petronas), syarikat minyak negara yang menguasai 69.86 peratus ekuitinya.

Grab, pengangkutan atas permintaan dan platform pembayaran mudah alih utama di Asia Tenggara kini hadir di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar, dan Kemboja.

Grab yang mempunyai 2.8 juta pemandu di seluruh negara, dijangkakan menawarkan perkhidmatan di Lahad Datu dan Sarikei minggu depan. — Bernama

Advertisement