
PROGRAM pembangunan kokurikulum perlu dirancang teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh dan bersepadu bagi membolehkan segala bakat dan potensi pelajar dapat dibangunkan dengan efektif.
Dalam konteks ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi Sandakan berhasrat melahirkan generasi pewaris kepimpinan masa depan negara yang memiliki semangat perpaduan dan semangat kekitaan yang mencakupi pelbagai rutin kehidupan, berketrampilan dalam pelbagai bidang, kritis dan kreatif.

Pengetua SMK Batu Sapi, Esmadi Ismail menegaskan, para pelajar juga seharusnya mempunyai disiplin diri yang tinggi, bersemangat patriotik dan tidak bersikap individualistik, malah mampu memainkan peranan dalam masyarakat.
“Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Perkhemahan Agung Unit Beruniform 2018 di SMK Batu Sapi, Sandakan pada Ahad.
Katanya, para pelajar hendaklah sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang yang diceburi.

“Jika kita kurang ilmu, mempunyai nilai peribadi yang rendah, dan sering melanggar disiplin sekolah, ia akan membawa kepada keruntuhan negara pada masa hadapan.
“Oleh itu, peliharalah akhlak dan disiplin anda sepanjang masa bagi menjamin keutuhan dan kecemerlangan diri sebagai pelajar,” katanya.
Beliau juga melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan komitmen tinggi semua pihak terlibat menjayakan perkhemahan tahun ini yang berjalan dengan lancar tanpa banyak masalah serta terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
Beliau berharap para pelajar memanfaatkan sepenuhnya segala ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dipelajari melalui perkhemahan selama tiga hari itu yang bertujuan sebagai proses pendidikan dan pembangunan kerjaya sebagai seorang pelajar.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam bidang yang diceburi. Saya percaya, anak-anak telah didedahkan dengan pelbagai ilmu secara teori dan praktikal untuk membolehkan kita menjadi warga yang berguna kepada sekolah, agama, bangsa dan negara,” ujarnya penuh harapan.

Katanya, enam unit (pasukan badan beruniform) terlibat ialah Kadet Remaja Sekolah (KRS), Persekutuan Pengakap Malaysia, St John Ambulans Malaysia (SJAM), Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia (KBPM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan juga Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM).
Menurutnya, perkhemahan itu bermatlamat untuk memberikan sebanyak mungkin pengalaman, pengetahuan dan kemahiran ke arah pembinaan insan yang berjiwa mantap dan berfikiran cerdas serta sihat dari segi jasmani dan emosi.
Menurutnya, perkhemahan itu menggariskan lima objektif iaitu melahirkan peserta yang berdisiplin dan bersemangat juang untuk memastikan kecemerlangan yang seimbang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
Selain itu, ia juga memberi pendedahan dan pengalaman kepada para peserta tentang aspek perkhemahan secara menyeluruh serta memupuk semangat kerjasama dan berdikari serta meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.
Dalam masa sama, katanya perkhemahan itu dapat meningkatkan semangat kekitaan, berpersatuan dan berdisiplin, di samping membantu memperkembangkan bakat, sosial dan minat serta memberikan pengalaman baru yang menyeronokkan kepada para peserta.

Beliau menjelaskan, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang perkhemahan itu termasuklah ice breaking, latihan dalam kumpulan (LDK) dan ceramah, qiamullail, malam kebudayaan, orientering, mencari dan menyelamat (SAR), kembara hutan, pertandingan kawad kaki, gajet dan juga larian komando.
Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia (KBPM) muncul juara keseluruhan berdasarkan penilaian terhadap lapan jenis aktiviti yang dipertandingkan sepanjang program perkhemahan itu.
Naib johan dimenangi pasukan Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (Darat), manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) menduduki tempat ketiga, disusuli Persekutuan Pengakap Malaysia, St. John Ambulanc Malaysia dan Kadet Remaja Sekolah.

Sementara itu, anugerah peserta terbaik lelaki dinobatkan kepada Mohammad Kasyfi Sanat dari Persekutuan Pengakap Malaysia, manakala peserta terbaik perempuan ialah Fiana Shaffera Samsudin dari Persatuan Kadet Bomba & Penyelamat Malaysia.
Pasukan Kadet Bomba yang dibimbing guru penasihat, Juliana Djumarang dan Sarimah Haji Kassim muncul johan bagi pertandingan kawad, memasak, search and rescue dan orienteering.
PKBM (Darat) pula menjuarai pertandingan larian komando dan iron chef, manakala PBSM muncul tempat kedua bagi pertandingan memasak dan search and rescue, selain tempat ketiga bagi acara orienteering dan kawad kaki.

Kelancaran pelaksanaan bagi semua aktiviti sempena program perkhemahan itu dikendalikan oleh Cikgu Safri Rudin selaku Ketua Kem Komandan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Kanan Kokurikulum SMK Batu Sapi, Awang Tajuddin AK Ahmad, para penolong kanan serta guru-guru penasihat semua unit beruniform di sekolah tersebut.