Anda di sini

Kaamatan manifestasi keharmonian rakyat Sabah

Advertisement

KENINGAU: Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di Malaysia, khususnya di Sabah untuk hidup aman damai dan bersatu padu, walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, sudah tentu perayaan itu turut memberi peluang kepada rakyat mengenali, memahami serta menghormati adat dan budaya suku kaum Kadazan Dusun Murut.

"Kepelbagaian dan khazanah budaya yang kita miliki ini menjadikan Sabah sebagai negeri diberkati dengan keunikan yang tidak ada di tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2018, disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, bertempat di Padang Bandaran Keningau, pada Selasa.

JUHAR diiringi Pairin (dua dari kiri) dan Musa (dua dari kanan) menuai padi sebagai simbolik pelancaran pesta itu.
JUHAR diiringi Pairin (dua dari kiri) dan Musa (dua dari kanan) menuai padi sebagai simbolik pelancaran pesta itu.

Musa berkata, dengan pelbagai acara sepanjang sebulan berlangsungnya perayaan Pesta Kaamatan ini, ia akan berupaya mengukuhkan lagi semangat muhibah dan persefahaman budaya seterusnya menjadikan negeri Sabah sebagai sebuah masyarakat contoh yang harmoni selain model terbaik dalam konteks kepelbagaian budaya.

Justeru katanya, bersesuaian dengan tema Kaamatan pada tahun ini, 'Kaamatan Asas Perpaduan dan Persaudaraan' kita seharusnya memahami, menghayati dan mengaplikasikan tema ini dalam kehidupan, agar ia mencetus satu transformasi ke arah usaha untuk melahirkan rakyat yang penyayang dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain," katanya.

"Kini kita berada di awal sambutan Pesta Kaamatan, saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kekal dan menjadi wadah penyatu rakyat, menerusi kepelbagaian dan keunikan budaya dalam semangat penuh kekitaan, setiakawan, persefahaman dan harmoni," katanya.

Pada tahun ini, Daerah Keningau telah diberikan kepercayaan menjadi tuan rumah Pesta Kaamatan Peringkat Negeri yang juga bersamaan Tahun Melawat Keningau 2018.

Musa gembira melihat kehadiran, penglibatan dan sokongan rakyat berbilang kaum di seluruh negeri, yang turut sama menyertai dan menjayakan majlis yang gilang gemilang itu.

"Inilah keunikan dan kekuatan rakyat Malaysia di Sabah, sebagai contoh terbaik semangat 1Malaysia," katanya.

Sambutan Pesta Kaamatan diadakan oleh masyarakat Kadazan Dusun dan Murut untuk melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi dan memperingati lagenda Huminodun yang sanggup menjadi korban bagi menyelamatkan kaumnya daripada kebuluran.

Peristiwa ini memberikan pengajaran dan mesej penting tentang pentingnya untuk masyarakat berkenaan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang dikecapi pada hari ini. Ia termasuklah nikmat kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan setiap masa.

Musa berkata, rakyat perlu menginsafi bahawa kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini bukanlah sesuatu yang wujud secara semulajadi.

Sebaliknya kata beliau, ia adalah hasil usaha dan pengorbanan pemimpin, kerajaan dan seluruh lapisan rakyat sejak dahulu hingga kini.

"Oleh itu, amat penting untuk kita terus bersatu padu, bermuafakat dan melipatgandakan lagi usaha bagi memajukan negeri dan membela nasib rakyat di semua peringkat," katanya.

Tambahnya, untuk menjayakan matlamat itu, rakyat perlu sentiasa memelihara dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan, muhibah dan persefahaman agar sentiasa teguh dan berakar umbi dalam masyarakat dan tidak mampu diganggu-gugat oleh anasir dan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya mengekalkan keamanan, keharmonian dan kemesraan agar negeri Sabah menjadi negeri contoh di Malaysia, sekaligus terus menjadi destinasi utama pilihan pelancong.

  • oleh
  • Advertisement