Anda di sini

Co-opbank Persatuan akan dijenamakan semula

Advertisement

TAIPING: Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (Co-opbank Persatuan) akan dijenamakan semula dengan nama baharu Co-opbank Pertama Malaysia bagi meningkatkan imej dan pengurusan bank berkenaan di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata bank koperasi tersebut juga akan dikawal selia oleh kementeriannya bagi menjadikannya terkenal setanding dengan Bank Rakyat.

Menurutnya, bank berkenaan yang mempunyai 78,389 anggota dengan 603 buah koperasi akan dilantik menjadi pengurus akaun simpanan bagi koperasinya di seluruh negara.

“Ini strategi kita untuk mereka membantu koperasi dengan deposit wang simpanan koperasi diletakkan di bank ini dan bank akan membantu dengan memberikan pembiayaan pinjaman kepada koperasi untuk melaksanakan projek dan mereka lakukan dengan kerjasama Bank Rakyat,” katanya.

Hamzah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-59 Co-opbank Persatuan serta majlis permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan Co-opbank Persatuan di sini, semalam.

MoU tersebut adalah bertujuan melantik Bank Rakyat sebagai mentor kepada Co-opbank Persatuan bagi membantu bank tersebut mengukuhkan kapasiti, modal insan dalam hal kepakaran dan pembelajaran teknikal berkaitan aktiviti perbankan terutamanya dalam pengurusan risiko.

Sementara itu Pengerusi Co-opBank Persatuan Kamari  Zaman Juhari berkata bank itu berjaya merekodkan keuntungan sebanyak RM39.7 juta pada 2017 berbanding RM25.7 juta pada 2016 manakala pendapatan meningkat kepada RM182 juta berbanding RM136.9 juta.

Menurutnya, jumlah aset meningkat sebanyak 38.1 peratus kepada RM3.15 bilion pada 2017 berbanding RM2.28 bilion pada 2016 dengan sebahagian daripadanya adalah dalam bentuk pembiayaan dan penempatan aset perbendaharaan, khususnya deposit dengan institusi kewangan.

“Model saham bank ini juga telah meningkat daripada RM344.6 juta pada 2016 kepada RM371.5 juta pada 2017,” katanya.

Kamari Zaman berkata, jumlah penerimaan deposit juga melonjak sebanyak 46 peratus kepada RM2.57 bilion pada 2017 dengan jumlah simpanan deposit dalam kalangan anggota individu ialah sebanyak RM139.9 juta iaitu 5.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, pencapaian ini dijangka dapat membantu meningkatkan keyakinan serta memberi rangsangan kepada anggota untuk terus menambah pelaburan dan simpanan mereka dengan bank tersebut.

Bagi mengukuhkan lagi prestasinya,  bank itu akan memperkenalkan beberapa produk baharu seperti Pembiayaan Kontrak, Pemfaktoran, Jaminan Bank dan Ar Rahnu serta meningkatkan pendapatan berasaskan fi, katanya.

Selain itu, katanya, Co-opbank Persatuan juga akan membuka empat cawangan baharu tahun ini di Batu Pahat (Johor), Kuala Selangor (Selangor), Temerloh (Pahang) serta Port Dickson di Negeri Sembilan yang menjadikan jumlah keseluruhan cawangan sebanyak 24 buah. — Bernama

Advertisement