Anda di sini

Sepanyol protes lima lelaki bebas tuduhan rogol

Advertisement
 Penunjuk perasaan membawa sepanduk ketika membuat bantahan di Pamplona kelmarin selepas lima lelaki, dituduh atas rogol beramai-ramai ke atas seorang wanita pada perayaan larian lembu Pamplona, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara bagi kesalahan ‘penderaan seksual’ mengelak tuduhan rogol. — Gambar AFP
TIDAK PUAS HATI: Penunjuk perasaan membawa sepanduk ketika membuat bantahan di Pamplona kelmarin selepas lima lelaki, dituduh atas rogol beramai-ramai ke atas seorang wanita pada perayaan larian lembu Pamplona, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara bagi kesalahan ‘penderaan seksual’ mengelak tuduhan rogol. — Gambar AFP

MADRID: Puluhan ribu penduduk Sepanyol menunjuk perasaan di Pamplona kelmarin untuk membantah pembebasan lima lelaki yang dituduh merogol seorang gadis berusia 18 tahun pada perayaan larian lembu jantan di kota tersebut.

Penunjuk perasaan memenuhi jalan di seluruh negara sejak mahkamah membuat keputusan tersebut Khamis lepas, yang memaksa kerajaan konservatif Sepanyol untuk menyatakan ia akan menimbang untuk meminda undang-undang rogol.

Lelaki-lelaki tersebut dibebaskan daripada serangan seksual, termasuk rogol dan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun bagi kesalahan penderaan seksual yang lebih ringan.

Di Pamplona sendiri, polis berkata, ‘antara 32,000 hingga 35,000 orang’ menyertai demonstrasi kelmarin dan berhimpun di bawah cogan kata ‘ia bukan penderaan seksual, ia adalah rogol’.

Ribuan wanita berarak bersama dengan mengangkat tangan mereka dalam protes itu, yang menurut polis berjalan dengan aman.

Ana Botin, ketua berpengaruh Santander, salah sebuah bank terbesar di Sepanyol, menulis dalam Twitter bahawa keputusan itu adalah ‘satu langkah ke belakang bagi keselamatan wanita’ manakala bekas hakim Manuela Carmena, sekarang datuk bandar Madrid, berkata ia ‘tidak memenuhi tuntutan wanita bagi keadilan’.

Lelaki-lelaki terbabit, yang berusia 27 hingga 29 tahun, dituduh merogol wanita berkenaan di pintu masuk sebuah bangunan pangsapuri di Pamplona pada 7 Julai 2016, pada permulaan perayaan San Fermin selama seminggu, yang menarik puluhan ribu pelawat.

Kelima-lima lelaki itu, semuanya dari bandar raya selatan Seville, merakamkan insiden itu dengan telefon pintar mereka dan kemudian bercakap besar mengenainya dalam satu kumpulan WhatsApp di mana mereka memanggil diri sendiri sebagai ‘La Manada’ (Kawanan).

Satu petisyen dalam talian yang menuntut pembatalan kelayakan hakim yang menjatuhkan hukuman itu mengumpul lebih 1.2 juta tandatangan setakat kelmarin.

Isu itu turut menjadi berita utama akhbar di seluruh negara dan sebuah perkumpulan biarawati Carmelite menambah suara mereka kepada kecaman terhadap penghakiman mahkamah.

Di bawah kanun jenayah di Sepanyol, bukti tentang keganasan atau ugutan mesti wujud untuk membuktikan kesalahan rogol.

Namun itu adalah nuansa undang-undang yang tidak selalunya mudah untuk dibuktikan, akhbar harian paling laris El Pais menulis dalam satu tulisan pengarang.

“Ia membawa kepada persoalan yang menyakitkan tentang sejauh mana seseorang itu perlu melawan untuk mengelak daripada dirogol tanpa risiko dibunuh, dan masih diiktiraf sebagai mangsa serangan serius ke atas kebebasan seksual dan pada waktu yang sama memastikan pesalah tidak terlepas daripada hukuman,” kata akhbar itu.

Dalam keputusan mereka, hakim berkata “ia tidak dapat dipertikaikan bahawa plaintif tiba-tiba mendapati diri berada dalam sebuah tempat yang sempit dan tersembunyi, dikelilingi lima lelaki lebih tua berbadan sasa yang menyebabkannya tidak berdaya dan tidak responsif.

“Video menunjukkan plaintif dikelilingi dan ditindih pada dinding oleh dua tertuduh, dia (mangsa) tidak menunjukkan sebarang reaksi pada wajahnya, dan menutup matanya,” ujar mereka.

Pada Khamis lepas, kumpulan besar yang kebanyakannya adalah wanita berarak di bandar raya seluruh Sepanyol, termasuk Madrid dan Barcelona, selepas mahkamah membuat keputusan.

Di kota utara Santander, penunjuk perasaan menyekat jalan, televisyen awam TVE melaporkan.

Kemudian pada Jumaat, ribuan orang berdemonstrasi di luar mahkamah Pamplona di mana penghakiman dibuat.

Manakala itu, sebuah komuniti 16 biarawati Carmelite di biara Hondarribia di bumi Basque mengecam keputusan mahkamah dalam Facebook.

“Kami hidup dalam keadaan tertutup, memakai jubah yang sampai ke buku lali kami, kami tidak keluar pada waktu petang, kami tidak pergi ke parti, kami tidak minum alkohol dan kami sudah melafazkan ikrar kesucian,” kata biarawati itu.

“Oleh kerana itu adalah pilihan kami yang bebas, kami akan mempertahankan dengan semua kaedah yang ada pada kami hak semua wanita untuk melakukan perkara sebaliknya dengan bebas, tanpa mereka dihakimi, dirogol, diugut, dibunuh atau dimalukan,” mereka menulis.

Pendakwa raya negeri berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Adriana Lastra, seorang pegawai tertinggi bersama parti pembangkang utama di Sepanyol, Parti Sosialis, berkata keputusan mahkamah ‘memalukan’.

“Ia adalah produk budaya macho dan kuasa baka,” ujarnya.

Kes itu disebut dalam poster yang dibawa oleh ramai wanita sewaktu demonstrasi besar-besaran yang diadakan di kota raya seluruh Sepanyol sempena Hari Wanita Antarabangsa pada Mac lalu, yang merupakan antara yang terbesar di Eropah. — AFP

Advertisement