Anda di sini

Polis Uganda tembak mati dua orang di ‘pusat radikalisasi’

Advertisement
 Pegawai polis Uganda berkawal di tempat kejadian berikutan operasi polis Uganda dan tentera ke atas‘pusat radikilasi’ di masjid Usafi Kampala, kelmarin. — Gambar AFP
KAWALAN KETAT: Pegawai polis Uganda berkawal di tempat kejadian berikutan operasi polis Uganda dan tentera ke atas‘pusat radikilasi’ di masjid Usafi Kampala, kelmarin. — Gambar AFP

KAMPALA: Polis Uganda kelmarin berkata mereka telah menjumpai sebuah ‘pusat radikalisasi’ di sebuah masjid di Kampala, menembak mati dua orang, menangkap puluhan lagi dan membebaskan lebih 100 wanita dan kanak-kanak.

Sumber keselamatan yang enggan dikenali berkata, pegawai menjumpai apa yang dipercayai sebuah pusat radikalisasi Islamis di dalam masjid berkenaan.

Pusat tersebut dijumpai petang Jumaat ketika pegawai polis mengekori seorang suspek, yang dipercayai terlibat dalam satu pembunuhan dan penculikan berprofil tinggi pada awal tahun ini, ke dalam masjid Usafi yang usang.

Dalam kejadian berbalas tembakan yang menyusul, polis berkata seorang pegawai cedera, dua lelaki ditembak mati dan 36 ditangkap dan dituduh menyorok senjata.

Juga di dalam masjid itu adalah 18 wanita dan 94 kanak-kanak yang menurut polis ditahan tanpa kerelaan mereka.

“Beberapa kanak-kanak dan wanita, yang disyaki telah diculik atau ditahan sebagai tebusan, berjaya diselamatkan,” kata jurucakap polis Emilian Kayima di satu sidang akhbar kelmarin.

“Dua penculik ditembak mati selepas menyerang dengan ganas dan mencederakan dengan serius salah seorang pegawai keselamatan,” kata Kayima, yang menambah lelaki yang diekori polis ke dalam masjid sudah ditahan reman.

Siasatan ke atas kaitan di antara suspek asal dengan mereka yang dijumpai di dalam masjid masih dijalankan.

Di tempat kejadian, di bahagian yang khususnya miskin di bandar itu, lubang peluru memenuhi masjid yang terletak dalam sebuah kawasan rendah di antara sebuah stesen bas dengan sebuah taman kontena perkapalan.

Polis sudah menutup kawasan itu daripada pandangan penduduk dan orang yang lalu-lalang.

Pegawai majlis tempatan Hassan Kiberu mendengar bunyi tembakan yang bergema di kawasan kejiranan berkenaan pada petang Jumaat lepas.

“Saya tidak pernah memasuki masjid itu sebelum ini. Orang yang pergi ke sana tidak membenarkan sesiapa masuk,” katanya.

Kiberu berkata ketua masjid itu ditangkap sebulan lalu, selepas aduan diterima daripada jiran yang mengesyaki dia menyebar mesej pelampau.

“Saya rasa mereka sedang mengasuh budak-budak ini di dalam sana untuk sesuatu,” katanya.

Lelaki yang ditangkap Jumaat lepas – yang menurut polis dijumpai dengan 23 parang, 60 peluru dan sepasang busur dan panah – disyaki terlibat dalam penculikan dan penahanan haram wanita dan kanak-kanak yang berasal dari pelbagai negara Afrika Timur.

Pada Februari lalu, mayat Susan Magara – anggota sebuah keluarga berpengaruh di Uganda – dijumpai tiga minggu selepas penculikannya dan beberapa tuntutan wang tebusan.

Jenayah itu mengejutkan rakyat Uganda dan Presiden Yoweri Museveni mengarahkan agensi perisikan untuk mengetuai siasatan.

Pasukan keselamatan percaya seorang suspek penting yang mereka awasi menyedari dia sedang diekori dan lari ke dalam masjid.

Menteri Dalam Negeri Jeje Odong berkata pegawai polis mengejar suspek ke dalam masjid dan penemuan senjata, wanita dan kanak-kanak seterusnya tidak ‘dirancang atau disengajakan’.

“Jika suspek tidak memasuki masjid, kami pasti tidak ada sebab untuk masuk,” kata Odong.

“Kami tidak suka sama sekali melihat tempat ibadat digunakan untuk melakukan jenayah.”

Odong berkata kanak-kanak yang dijumpai di dalam ‘kelihatan takut dan trauma’ dan dipercayai berasal dari Burundi, Rwanda dan Kenya selain Uganda. — AFP

Advertisement