Anda di sini

Pemberontak Yaman terbunuh akibat serangan perikatan Arab Saudi

Advertisement
 Mohammed Ali al-Huthi (tengah-kanan), ketua pemberontak Huthi ‘Komiti Revolusi Majlis Politik Tertinggi’, bersembahyang di samping Mahdi al-Mashat (tengah), dilantik untuk menggantikan Saleh al-Samad sebagai ketua Majlis Politik Tertinggi Huthi, ketika pengebumian Saleh al-Samad dan orang pengawalnya di masjid bandar Yaman Sanaa kelmarin. — Gambar AFP
DISEMBAHYANGKAN: Mohammed Ali al-Huthi (tengah-kanan), ketua pemberontak Huthi ‘Komiti Revolusi Majlis Politik Tertinggi’, bersembahyang di samping Mahdi al-Mashat (tengah), dilantik untuk menggantikan Saleh al-Samad sebagai ketua Majlis Politik Tertinggi Huthi, ketika pengebumian Saleh al-Samad dan orang pengawalnya di masjid bandar Yaman Sanaa kelmarin. — Gambar AFP

SANAA: Satu serangan udara perikatan Arab Saudi membunuh puluhan pemberontak Yaman termasuk dua komander, kata media kerajaan kelmarin, dalam satu lagi tamparan kepada pemberontak ekoran pembunuhan ketua politik mereka.

Pemberontak Huthi mengadakan pengebumian awam kelmarin bagi Saleh al-Sammad, ketua Majlis Politik Tertinggi mereka dan pemimpin nombor dua puak pemberontak, yang maut pada minggu lepas dalam satu serangan udara yang diakui dilancarkan oleh Arab Saudi dan sekutunya.

Pengebumiannya diadakan beberapa jam selepas televisyen kerajaan Arab Saudi Al-Ekhbariya berkata dua pemberontak berpangkat tinggi adalah antara lebih 50 orang Huthi yang terbunuh dalam satu serangan baharu pada malam kelmarin di ibu negara Sanaa.

Dalam ucapan mengenai Sammad pada malam kelmarin, ketua pemberontak Abdul Malik al-Huthi mendakwa Arab Saudi dan sekutunya menyasari kawasan pinggiran Dataran Sabaeen ketika penyokong Huthi berhimpun untuk pengebumian Sammad.

Televisyen pemberontak Al-Masirah menayangkan rakaman asap hitam tebal yang berkepul-kepul di luar dataran tersebut, di mana rakyat Yaman melaungkan slogan untuk menuntut kematian Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS). Tarikh rakaman itu tidak dapat disahkan segera.

Pemberontak sudah terjebak dalam peperangan sejak 2015 dengan pakatan tentera Arab Saudi yang berjuang untuk memulihkan semula kuasa kerajaan Yaman yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Televisyen milik Arab Saudi Al-Arabiya berkata serangan pada malam kelmarin menyasari kementerian dalam negeri di Sanaa, yang dikuasai pemberontak.

Puak Huthi, yang disokong oleh musuh utama serantau Arab Saudi, Iran, mengesahkan serangan udara berkenaan ke atas Sanaa tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Pemimpin Huthi mengecam Arab Saudi dan sekutunya, terutamanya Emiriah Arab Bersatu (UAE), kerana beroperasi “di bawah payung AS dan Israel, dan berkata kematian Sammad adalah “insentif tambahan” bagi puak pemberontak.

Puak Huthi, yang berasal dari utara Yaman, menguasai Sanaa dan kebanyakan tempat di utara negara – yang bersempadan dengan Arab Saudi – dan pelabuhan penting Hodeida di pantai Laut Merah.

Sejurus selepas pengebumian Sammad bermula, puak Huthi berkata mereka telah melancarkan lapan misil balistik ke dalam negara Arab Saudi.

Perikatan mengesahkan ia telah memintas empat misil yang menuju ke kota Jizan di pantai selatan Arab Saudi, sehari selepas tentera pertahanan negara itu berkata mereka telah menjatuhkan satu misil yang menuju ke kawasan yang sama.

Sementara kenyataan perikatan menyebut serangan itu tidak meragut nyawa, jurucakap pertahanan awam di Jizan, Kolonel Yahya Abdullah al-Qahtani memberitahu Al-Arabiya bahawa seorang warga Arab Saudi maut disebabkan oleh serpihan yang terjatuh.

Seorang jurucakap perikatan tidak segera membalas permintaan bagi pengesahan.

Pemberontak telah meningkatkan serangan misil mereka ke atas Arab Saudi pada tahun ini.

Seorang individu dilaporkan maut selepas dihempap serpihan yang terjatuh di Riyadh pada bulan lepas.

Serangan kelmarin berlaku sejurus sebelum ketibaan Setiausaha Negara AS yang baharu dilantik, Mike Pompeo, yang mendarat di Riyadh untuk mengadakan pertemuan yang dijangka turut merangkumi rundingan mengenai konflik di Yaman.

Riyadh dan sekutu eratnya Washington menuduh Iran menyediakan senjata api untuk puak Huthi, yang dinafikan oleh Iran.

Tehran menyalahkan Arab Saudi bagi perang yang buruk di Yaman, yang menimbulkan masalah bagi jutaan penduduk untuk mendapatkan makanan.

Di Sanaa, penyokong Huthi memenuhi jalan kelmarin untuk pengebumian Sammad dan enam orang lain yang terkorban dalam serangan pada 19 April.

Pemberontak yang memakai seragam tentera berarak di hadapan konvoi kereta mayatnya, yang termasuk tujuh buah kereta yang ditutupi bendera Yaman dan diiringi pancaragam perbarisan.

Hampir 10,000 orang sudah terkorban sejak pakatan Arab Saudi menyertai konflik di Yaman, yang mencetuskan apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Yaman sekarang berada di ambang kebuluran. — AFP

Advertisement