Anda di sini

MIMOS, PSDC meterai MoU tingkat kemahiran bakat tempatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan  pusat penyelidikan dan pembangunan negara, MIMOS Bhd, untuk bekerjasama melengkapkan rantaian nilai Industri 4.0 dan menyokong keperluan industri sokongan di Pulau Pinang dan wilayah utara.

Sebelum pemeteraian MoU itu, Hab Inovasi telah dilancarkan untuk menyediakan latihan industri teknologi tinggi yang akan menyokong dan mempercepatkan penggunaan Industri 4.0.

Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Ahmad Rizan Ibrahim berkata di bawah MoU itu, MIMOS menawarkan teknologi, kapasiti, kepakaran dan ekosistemnya dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), semikonduktor, mikroelektronik dan sistem terbenam untuk menyokong program latihan yang ditawarkan oleh PSDC.

“Melalui inisiatif ini, MIMOS juga akan menubuhkan realiti bertambah - makmal realiti maya serta makmal  Internet of Things  untuk melengkapi kemudahan sedia ada di PSDC.

“Hab Inovasi juga akan meliputi nanoteknologi, fotonik dan komunikasi tanpa wayar selain kemudahan latihan dalam teknologi baharu seperti analitik data raya, pengkomputeran sampingan, kecerdasan buatan, percetakan 3D dan pembuatan pintar,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Pertukaran dokumen berlangsung pada 25 April antara Ahmad Rizan, yang mewakili MIMOS dan Ketua Pegawai Eksekutif PSDC Muhamed Ali Hajah.

Pelancaran Hab Inovasi itu dijangka memberi sinergi kepada PSDC dan MIMOS dalam menawarkan penyelesaian teknologi dan bakat yang diperlukan untuk industri di Pulau Pinang dan wilayah utara semenanjung.

Menurut Ahmad Rizan, Hab Inovasi itu akan meningkatkan kemahiran sedia ada bakat tempatan, selain memupuk bakat baharu dan membawa teknologi  Industri 4.0 dan bakat kepada industri Malaysia serta syarikat multinasional yang beroperasi di sini.

Beliau berkata MIMOS menyedari keperluan pembangunan bakat dalam meningkatkan mobiliti sosial dan kesejahteraan masyarakat dalam Revolusi Perindustrian Keempat, di mana industri Malaysia perlu menggunakan Industri 4.0.

Sementara itu, Muhamed Ali berkata: “PSDC berbangga sekali lagi dapat bekerjasama  dengan MIMOS dalam menyokong dan meningkatkan penggunaan teknologi baharu oleh syarikat melalui penyediaan latihan dan perkhidmatan dikongsi bersama kepada industri.”

MIMOS dan PSDC telah bekerjasama dalam pembangunan bakat untuk menyokong industri dengan tenaga kerja  mahir dalam bidang pembuatan, semikonduktor, serta elektrik dan elektronik pada dekad yang lalu. — Bernama

Advertisement