Anda di sini

Lelaki ditahan terbangkan dron

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki selepas didapati menerbangkan dron di pusat penamaan calon di Papar pada Sabtu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah selaku pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed (gambar) berkata tindakan pengendali dron berkenaan dikesan di Pusat Penamaan Calon Dewan Masyarakat Papar.

Pihaknya turut merampas dron milik suspek dan kes disiasat di bawah Peraturan 140(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam dan perkara itu akan dirujuk ke Jabatan Penerbangan Awam untuk tindakan selanjutnya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata polis turut mengesan dua lagi insiden sama di Pusat Penamaan Calon Semporna dan Penampang bagaimanapun tiada tangkapan dibuat berikutan pengendali dron berjaya menghilangkan diri.

Fadzil berkata pihaknya menggerakkan seramai 3,292 anggota polis Kontinjen Sabah termasuk 415 pegawai dan 2877 anggota pangkat rendah bagi bertugas di 26 pusat penamaan calon seluruh Sabah termasuk Labuan.

"Sepanjang proses penamaan calon berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di bandar utama termasuk di sini, Sandakan dan Tawau. Bagaimanapun, anggota polis trafik berjaya mengawal lalu lintas dengan baik hasil kerjasama pengguna jalan raya sendiri.

"Beberapa lokasi panas termasuk Semporna yang dihadiri kira-kira 20,000 penyokong parti juga dilaporkan tenang dan terkawal sepanjang pelaksanaan proses penamaan calon," katanya.

Beliau turut menasihati calon serta penyokong parti agar mematuhi peraturan serta mengawal diri dengan mengelakkan sentimen provokasi dan perkauman sepanjang tempoh berkempen dijalankan.

"Penyokong yang ingin membawa bendera di kenderaan masing-masing dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Kita juga tidak inginkan budaya luar seperti membakar serta menconteng poster pihak lawan kerana ini bukanlah budaya yang diamalkan di Sabah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement