Anda di sini

Donald punya visi dan misi tersendiri bela rakyat

Advertisement
DONALD (dua kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Aloysius (kiri), Jenifer (kanan) dan Dennis ( dua kanan).
DONALD (dua kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Aloysius (kiri), Jenifer (kanan) dan Dennis ( dua kanan).

PENAMPANG: Utamakan keamanan, keselamatan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan kawasan Penampang antara visi dan misi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau yang membuat kemenculan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini yakin dengan pengalaman selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Penampang dan satu penggal Ahli DUN Moyog mampu merampas kembali kerusi itu yang jatuh pada tangan pembangkang pada PRU lalu.

"Saya tidak akan bertanding sekiranya saya tidak yakin saya mampu menang...saya menawarkan diri saya menjadi calon di Moyog disebabkan saya masih mempunyai misi dan visi untuk membantu rakyat di sini dan Penampang secara keseluruhan.

"Kita akan meningkatkan kemudahan pusat kesihatan di sini yang telah diluluskan dan sudah tiba masanya Penampang memerlukan sebuah hospital besar," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Parlimen Penampang, pada Sabtu.

 

Beliau turut berhasrat menjadikan pendidikan di sekolah-sekolah Penampang mencapai keputusan cemerlang dengan memastikan kelas mencukupi untuk menampung dengan pertambahan pelajar di sini.

Katanya, beliau juga akan memastikan kemudahan peralatan sekolah dilengkapi dengan teknologi abad 21 seperti penggunaan papan hitam digital.

"Selain itu, BN juga akan memberikan bantuan sewajarnya kepada penduduk-penduduk kampung yang terjejas akibat pembangunan seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

"Kita akan membantu mencari rumah baharu atau sebidang tanah untuk mereka yang terjejas ini," katanya.

Menurutnya, komuniti KadazanDusun dan Murut (KDM) Penampang mempunyai majoriti sebanyak 70 peratus di Penampang.

Katanya, perpecahan dalam kalangan KDM dalam memilih undi tidak berlaku berdasarkan maklumat diperolehi daripada usaha turun padang yang dilakukan beliau sejak lima tahun lalu.

"Walaupun kawasan ini dimenangi pembangkang, tetapi kita tidak pernah berhenti untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat di sini," katanya.

Donald akan ditentang oleh calon Warisan, Jenifer Lasimbang, Dennis J Tunding dari Parti Cinta Sabah (PCS) dan Damin @ Aloysius Siap dari STAR.

  • oleh
  • Advertisement