Anda di sini

Anyi dicabar anak saudaranya Roland di Parlimen Baram

Advertisement
 (Dari kiri) Penguang, Gerawat, Anyi, Roland, Paul dan George bersama selepas pengumuman calon oleh pegawai pengurus pilihan raya Parlimen Baram Mackos Sibong di Pejabat Daerah Marudi semalam.
SATU LAWAN SATU: (Dari kiri) Penguang, Gerawat, Anyi, Roland, Paul dan George bersama selepas pengumuman calon oleh pegawai pengurus pilihan raya Parlimen Baram Mackos Sibong di Pejabat Daerah Marudi semalam.

MARUDI: Kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Baram yakin boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Penyandangnya, calon BN Anyi Ngau berkata beliau yakin dapat menang dengan majoriti besar berbanding PRU13 (2013).

“Berdasarkan kehadiran penyokong hari ini saya yakin BN masih mempunyai ramai penyokong untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di Baram,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Baram Mackos Sibong di Pejabat Daerah Marudi di sini semalam.

Anyi berkata, keyakinan itu juga kerana cadangan pembinaan empangan hidro Baram yang pernah mencetuskan kemarahan sebahagian rakyat, sudah selesai.

“Meskipun empangan itu tidak diteruskan namun kerajaan tetap mencari alternatif termasuk melaksanakan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi atau HDA,” katanya.

Katanya, HDA meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Telang Usan, Marudi dan Mulu menikmati pelbagai pembangunan seperti jambatan, jalan raya menghubungkan Miri dan Marudi, bekalan air dan kemudahan lain.

Sementara itu, calon PKR Roland Engan berkata beliau percaya partinya mempunyai peluang menang tinggi bersandarkan sentimen rakyat bawahan.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk mengundi dan saya percaya mereka sudah matang memilih calon yang terbaik sebagai suara mereka di Parlimen.

“Kami banyak menerima maklum balas positif daripada rakyat bawahan dan ia menjadi motivasi kepada saya untuk bertanding meskipun sebelum ini pernah kalah dua kali,” katanya.

Mengenai Anyi, Roland berkata beliau tiada masalah peribadi dengan Anyi cuma mereka mempunyai polisi berbeza.

“Anyi seorang yang baik, kami dari kampung sama dan ada kaitan persaudaraan.

“Kami ‘berlawan’ pada PRU14 ini kerana mempunyai polisi berbeza terhadap beberapa perkara antaranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu, PRU14 ini menyaksikan pertembungan satu penjuru antara calon BN dan PKR.
BN meletakkan Anyi Ngau, 60, penyandang Parlimen Baram dan bekas pegawai daerah Limbang daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) manakala PKR mempertaruh Roland Engan, peguam dan juga anak saudara Anyi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Baram Mackos Sibong mengumumkan kedua-dua calon itu jam 11.05 pagi semalam di Pejabat Daerah Marudi di sini.

Kehadiran Anyi di pusat penamaan calon diiringi pencadangnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala dan penyokongnya Datu Dr Penguang Manggil serta kira-kira 3,000 penyokong BN.

Manakala Roland diiringi Paul Baya sebagai pencadang dan penyokong, George Laeng serta kira-kira 500 penyokong.

Anyi tiba di pekarangan Pejabat Daerah Marudi tepat jam 8.40 pagi manakala Roland jam 8.45 pagi.

Anyi masuk ke dewan pendaftaran jam 9.01 pagi diikuti Roland jam 9.09 pagi.

Ini merupakan pertandingan kedua bagi Anyi dan Roland pada PRU.

Pada PRU13 (2013), Anyi berasal dari Long Silat menang tipis dengan majoriti 194 undi. Anyi mendapat 9,182 undi sementara Roland menerima 8,988 undi manakala calon Bebas, Patrick Sibat mendapat 363 undi.

Dalam pada itu, penyokong BN mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi di pekarangan Dataran Marudi di sini manakala penyokong PKR berkumpul di Bilik Gerakan PKR Marudi.

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku antara penyokong kedua-dua parti.

Advertisement