Anda di sini

Rozman berhadapan saingan tiga penjuru

Advertisement
 

LABUAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan Datuk Rozman Isli yang mempertahankan Parlimen Labuan berhadapan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Rozman yang juga penyandang kerusi itu sejak PRU13 dicabar calon Parti Pakatan Harapan Sabah Bahagian Labuan Siti Zaleha SW Ibrahim, Ahmad Junid @Junit Mohd Aling dari Pas dan Noor Halim Zaini dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau yang juga ketua bahagian Umno Labuan diiringi kira-kira 3,000 penyokong Barisan Nasional (BN) ke pusat penamaan calon di Dewan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang dibuka pada jam 9 pagi.

RAISIN (tengah) bersama dari kiri Rozman, Ahmad Junid, Noor Halim dan Siti Zaleha di pusat penamaan calon di KML.

Penyokong BN yang diketuai Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias dan pemimpin parti komponen BN melaungkan kata-kata semangat sebelum Rozman memasuki dewan penamaan calon.

Beliau bersama pencadang Mohd Rafi Alli Hassan dan penyokong Wan Abdul Rahim Wan Abd Rahman menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Raisin Saidin yang juga pengarah Jabatan Pendidikan Labuan.

Turut kelihatan adalah gabungan penyokong Warisan, Parti Harapan Sabah (PH) dan Pas.

Siti Zaleha, 62, yang juga ketua bahagian Parti Harapan Rakyat Bahagian Labuan bersama kira-kira 150 penyokong menyerahkan borang pencalonan bersama pencadang Zulkiplee Ali dan penyokong Hilmi Safuan Japar.

Manakala 100 penyokong Pas mengiringi calon mereka, Ahmad Junid yang juga timbalan yang dipertua Pas Labuan bersama pencadang Hamir Zahari dan penyokong Abdul Rahim Mohd Salleh.

Calon Warisan, Noor Halim pula diiringi 300 penyokongnya menyerahkan borang pencalonan bersama pencadang, Mohd Jais Siol dan penyokong, Julius Theobald Elias.

Proses penamaan calon diketuai Raisin bersama dua Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Awg Marten Abd Rahman dan Ismail Abdullah serta 18 pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Labuan.

Rozman (empat kiri) bersama penyokong BN di luar pusat penamaan calon di KML.
ROZMAN (empat kiri) bersama penyokong BN di luar pusat penamaan calon di KML.

Raisin gembira proses penamaan calon itu berjalan lancar atas sokongan padu semua pihak termasuk kawalan ketat anggota polis yang diketuai Ketua Polis Labuan Superintendan Muhd Farid Ahmad.

“Semua penyokong parti yang bertanding memberi kerjasama sepanjang proses penamaan calon di KML. Saya berharap suasana aman dan tenteram ini akan berterusan sehingga hari pengundian pada 9 Mei depan,” katanya.

Advertisement