SIPITANG: Parlimen P.178 Sipitang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) yang melibatkan tiga calon daripada parti Barisan Nasional (BN), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan).
Perkara itu adalah pasti selepas Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Sipitang Matlin Dullah mengumumkan tiga calon iaitu Yamani Hafez Musa (BN), Noor Hayaty Mustapha (Warisan) dan Dayang Aezzy Liman (PHRS) akan bertanding di kawasan itu selepas borang penamaan calon mereka diterima.
Hafez yang merupakan calon muka baharu menghantar borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi manakala, Noor Hayaty menghantar borang pada jam 9.16 pagi.
Sementara itu, Dayang Aezzy turut menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.34 pagi.
Ketiga-tiga calon itu diiringi oleh penyokong masing-masing yang membanjiri sekitar perkarangan Dewan Serbaguna Sipitang.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan juga melibatkan saingan tiga penjuru.
Calon BN, Matbali Musah bakal berhadapan Asmat Japar (Harapan) dan Md Samlih Juasin (Warisan).
Bagi kerusi DUN Sindumin pula, Datuk Sapawi Amat Wasali (BN) bakal berhadapan Datuk Dr Yusof @Jusree Yacob (Warisan) dan Patrick Sadom (Harapan).