Anda di sini

Pertembungan empat penjuru di Papar

Advertisement
 

PAPAR: Parlimen Papar menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Sabah (GS), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Cinta Sabah (PCS)-Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri).

Bagi kerusi Parlimen P.175 Papar, penyandangnya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, 46, masih kekal sebagai calon BN bagi parlimen ini untuk kali keempat berturut-turut.

Exco Wanita Umno yang kini Timbalan Menteri Kerja Raya ini menjadi calon tanpa bertanding buat kali pertama pada 2004 dan mengekalkan prestasi tanpa kalah dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

 Kawang Wahid, Salleh, Matlin dan Ghulam semasa diumumkan sebagai calon DUN Kawang pada PRU14.
DARI kiri: Kawang Wahid, Salleh, Matlin dan Ghulam semasa diumumkan sebagai calon DUN Kawang pada PRU14.

Turut bertanding menentang Rosnah adalah calon Elbert Sikuil, 58, (PCS), Jamil William Core (Star) serta Ahmad Hassan, 57, (Warisan).

Parlimen Papar mempunyai seramai 43,586 orang pengundi.

Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Papar yang dipertandingkan dalam PRU14 ini juga menyaksikan pertembungan empat penjuru. Kerusi N.21 Kawang menyaksikan pertembungan antara calon Matlin Jilon, 58, (Harapan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (BN), Salleh Eddris (Warisan) dan Wahid @Harith Ismail (Anak Negeri).

Penyandang DUN Kawang, Ghulam, 63, juga mengekalkan rekod tanpa kalah sejak PRU12 pada 2004. Beliau kini memegang jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Sementara, kerusi N.22 Pantai Manis pula memperlihatkan pertemuan antara Jawasing Mianus @Herman J. Mianus (PCS), Datuk Abdul Rahim Ismail (BN), Datuk James @Ebi Ghani (Harapan) dan Datuk Aidi Mokhtar (Warisan).

Abdul Rahim, 69, adalah bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang kini memegang jawatan pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

Calon N.22 Pantai Manis terdiri (dari kiri) James, Abdul Rahim, Herman dan Aidi
CALON N.22 Pantai Manis terdiri (dari kiri) James, Abdul Rahim, Herman dan Aidi.

Aidi yang mewakili Warisan adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan manakala, James pula adalah seorang ahli politik veteran yang pernah bertanding sebagai calon bebas bagi Parlimen Papar menentang Datuk Seri Osu Sukam.

Pengumuman calon PRU14 Parlimen Papar disempurnakan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Papar Adanan @Adnan Atin pada jam 12.45 petang. Pengumuman rasmi agak lewat berikutan masalah gangguan bekalan elektrik kira-kira lima minit.

 Ahmad, Jamil, Elbert dan Rosnah ketika pengumuman rasmi calon Parlimen Papar PRU14 pada Sabtu.
DARI kiri: Ahmad, Jamil, Elbert dan Rosnah ketika pengumuman rasmi calon Parlimen Papar PRU14 pagi tadi..
  • oleh
  • Advertisement