PUTATAN: Sebanyak 13 perkara digariskan oleh Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) sebagai teras utama manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ia adalah senarai dari 88 sub kandungan Manifesto UPKO yang diperakukan dan diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Rabu.
"Daripada jumlah itu, 33 perkara yang terkandung dalam manifesto telah digunapakai oleh kerajaan BN.
"Antara kandungan utama yang dimaksudkan adalah memelihara hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi permintaan utama kita bagi diguna pakai di persekutuan dan negeri," katanya ketika berucap melancarkan Manifesto UPKO PRU-14, di sini pada Jumaat.
Wilfred yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Tuaran itu berkata, usaha memperkasa keharmonian kaum dan agama dengan mewujudkan Unit Khas Hal Ehwal Bukan Islam juga menjadi intipati manifesto UPKO.
Katanya, meskipun bukan perkara baharu, usaha itu juga penting untuk diperjuangkan bagi menangani isu keagamaan yang pernah menjejaskan kemenangan UPKO pada PRU sebelum ini.
"Jadi isu ini perlu kita tangani dengan baik dan positif yang mana ia juga menjado keperluan buat masyarakat bukam beragama Islam," katanya.
Beliau juga mengariskan perkara berkaitan penyelesaian tuntas isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan keberkesanan keselamatan di Sabah.
Katanya, UPKO komited membelanjakan RM300 ribu semata- mata untuk membuat kajian berkaitan kedudukan sebenar isu PTI di negeri ini.
"Pendirian kita adalah dengan meminta balik kad pengenalan rakyat Malaysia yang dikeluarkan di Sabah dan membuat pengeluarannya semula berlandaskan undang- undang.
"Isu penyelesaian ini hendaklah bersifat komprehensif sehingga soal kenegaraan di Sabah dapat diselesaikan," katanya.
Intipati lain dalam manifesto UPKO adalah melindungi dan membangunkan tanah anak negeri, meningkatkan peluang pekerjaan dengan menyediakan tiga juta kekosongan buat belia dalam tempoh lima tahun dan menangani kos sara hidup rakyat.
Selain itu, ia juga melibatkan pembinaan ekonomi mampan, dinamik dan inovatif, sistem pendidikan seimbang dan menyeluruh, menambahbaik tadbir urusan perkhidmatan awam, merancakkan pembangunan luar bandar, memantapkan perkhidmatan kesihatan, serta memperkasakan wanita.