Anda di sini

Pendidikan bukan tiket mencari kerja

Advertisement
 Masidi (empat kanan) merakamkan gambar kenangan pada majlis penyerahan bantuan khas kewangan bersama penerima.
BANTUAN KHAS: Masidi (empat kanan) merakamkan gambar kenangan pada majlis penyerahan bantuan khas kewangan bersama penerima.

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, belia Sabah perlu mencabar diri sendiri untuk mengambil semula peluang pekerjaan yang kini diambil pekerja asing.

“Zaman kini sudah berubah yang mana dahulu pekerjaan mencari kita, tetapi kini kita mencari pekerjaan.

“Pandangan kita perlu diubah dan jangan melihat pendidikan itu sekadar satu tiket untuk mencari kerja tetapi satu latihan yang membolehkan kita mampu berdikari tanpa bantuan orang lain.

“Ini kerana, ramai yang sensitif kerana tidak setuju mengenai kebergantungan kita kepada buruh asing, tetapi hakikatnya memang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Anak-anak Sabah bagi mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, di sini pada Rabu.

Masidi berkata, 80 peratus pekerja daripada sektor perladangan dan 70 peratus daripada industri pembinaan adalah tenaga buruh asing.

Katanya, peredaran zaman membuatkan masyarakat Sabah bergantung penuh kepada buruh asing dan ia menjadi satu masalah besar kepada negeri.

Namun jelasnya, kerajaan berusaha memastikan belia Sabah mendapat perhatian dan pendidikan secukupnya agar mampu mengambil semula peluang pekerjaan yang kini diisi oleh buruh asing.

Sementara itu, kerajaan negeri menyampaikan bantuan khas kewangan kepada seramai 5,263 pelajar IPT anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di dalam dan luar negeri, berjumlah RM950 setiap seorang.

Advertisement