Anda di sini

Parlimen Lubok Antu dijangka saksi pertarungan tiga penjuru

Advertisement
JUGAH
JUGAH

Oleh Frankie Junau

LUBOK ANTU: Kerusi Parlimen Lubok Antu dijangka menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan calon Bebas.

Terkini, pesara kerajaan yang juga anak tempatan, Jugah Muyang, 54, mengesahkan bertanding merebut kerusi itu yang kini menjadi kerusi ‘panas’ selepas ia dikosongkan penyandang terdahulu Datuk William Nyalau Badak yang dipecat daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Ahad lalu.

Jugah ketika dihubungi Utusan Borneo berkata, hasrat beliau bertanding bukan didorong rasa kecewa dan dendam kepada pucuk pimpinan PRS sebaliknya disebabkan desakan akar umbi terutama pengundi setia BN yang mahu melihat anak tempatan dipilih sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Mungkin ada sesetengah orang menuduh saya mengambil kesempatan atas kekusutan yang berlaku di Parlimen Lubok Antu...itu tidak benar kerana tujuan saya bertanding untuk menyahut suara akar umbi yang mahu anak tempatan dicalonkan mewakili pengundi di konstituensi Batang Ai dan Engkilili,” katanya.

“Mereka kecewa kerana pucuk kepimpinan tertinggi PRS gagal memenuhi aspirasi dan kehendak suara ramai yang mahu anak tempatan mewakili mereka untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya sambil menambah, pengundi menolak calon bidan terjun apatah lagi kurang dikenali sebagai calon menggantikan William Nyalau.

Sehubungan itu, beliau menambah pilihannya bertanding sebagai calon Bebas sama sekali tidak menentang ketua menteri serta perdana menteri.

“Rakyat harus jelas bahawa saya bertanding menentang calon BN di Lubok Antu bukan bermakna saya menentang BN dan jauh sekali Abang Johari sebagai pengerusi BN Negeri dan Najib (Pusat) sebaliknya mewakili suara akar umbi yang tidak bersetuju dengan keputusan kepimpinan tertinggi PRS yang bertentangan dengan kehendak majoriti pengundi,” katanya.

“Jiwa saya selamanya adalah Barisan Nasional kerana bekas Ahli Parlimen Andrew Jangi adalah abang saya...mana mungkin saya berani melangkaui tradisi keluarga ini,” ujarnya dan menambah beliau bukan orang baharu dalam dunia politik menerusi pembabitannya dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum ia dibubarkan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Jugah yang kerap kali pulang ke kampung halamannya di Nanga Kumpang, Engkilili berkata beliau adalah orang yang sangat sesuai mewakili suara pengundi Lubok Antu yang sangat dekat di hatinya.

“Saya sangat memahami setiap permasalahan yang menghantui rakyat kerana saya telah turun padang sejak tahun 2016 bertemu pengundi...tahu keluh kesah mereka kerana saya anak tempatan,” ujarnya.

Katanya, sekiranya memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu beliau berikrar membawa sebanyak mungkin pembangunan untuk kedua-dua DUN di bawah naungannya iaitu DUN Engkilili dan Batang Ai.

“Saya akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Datuk William yang belum tercapai di samping bersama-sama memperjuangkan hak rakyat Sarawak sebagaimana yang digariskan Abang Johari selaku pengerusi BN Negeri,” katanya.

Kerusi Parlimen Lubok Antu menjadi panas apabila penyandangnya selama dua penggal, Nyalau yang masih popular dan diyakini mampu menang diganti muka baharu Robert Pasang Alam.

Turut diuar-uarkan bertan-ding merebut kerusi kubu kuat BN itu ialah muka lama dalam dunia politik Nicholas Bawin Angat mewakili Parti Keadilan Rakyat.

  • oleh
  • Advertisement