Anda di sini

Dua sahabat maut motosikal dirempuh kereta

Advertisement
 Salah seorang mangsa tertiarap di tempat kejadian selepas motosikal mereka dilanggar kereta di Jalan Pujut-Miri awal pagi semalam.
TRAGIK: Salah seorang mangsa tertiarap di tempat kejadian selepas motosikal mereka dilanggar kereta di Jalan Pujut-Miri awal pagi semalam.

MIRI: Dua sahabat maut di tempat kejadian setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Pujut-Miri berhampiran lampu isyarat Jalan Bintang di sini, awal pagi semalam.

Kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hafizi Ali, 22, dari Kampung Haji Wahed dan Nur Shafinaz Sehat, 22, dari Holiday Park, Jalan Bakam di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam mengesahkan kes kemalangan maut itu.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati bahawa sebelum kejadian sekitar jam 1.30 pagi semalam, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dalam perjalanan dari arah Pujut menuju ke Riam.

“Setibanya di kawasan lampu isyarat simpang tiga Jalan Bintang, tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari simpang sebelah kanan iaitu dari arah Jalan Bintang lalu masuk ke laluan jalan utama.

“Pemandu kenderaan terbabit yang tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa,” katanya sambil menambah, pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu menurut Alexson, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Advertisement