Anda di sini

Bekas wartawan sedia jadi calon

Advertisement
ZAKARIA
ZAKARIA

KOTA KINABALU: Bekas wartawan yang kini Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Sepanggar Zakaria Damit bersedia untuk bertanding sekiranya diberi peluang menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Zakaria, 41, berkata, beliau memberi kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk memilih calon yang dirasakan sesuai dan berpotensi untuk menawan kerusi yang dipertandingkan di kawasan Sepanggar.

Selaku orang pertama yang membawa Warisan ke Sepanggar, beliau percaya penyokong Warisan di kawasan itu akan memberi sokongan kepadanya sekiranya beliau dicalonkan.

Beliau percaya sebagai bekas wartawan, kepekaannya terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Sepanggar memberi kelebihan kepada dirinya untuk mendekati rakyat di kawasan itu.

Katanya, kerja keras yang dilakukan sejak menyertai Warisan pada 2016 membuktikan masyarakat Sepanggar sentiasa bersama Warisan untuk melihat perubahan dalam pucuk pimpinan negeri.

Zakaria berkata, masyarakat di daerah itu agak kurang senang apabila mendapati terdapat calon luar yang bertanding di kawasan Sepanggar.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya dan pemimpin Warisan lain di Sepanggar untuk memastikan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sepanggar kekal milik anak jati di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai penerimaan masyrakat setempat terhadap Warisan, Zakaria berkata setiap minggu mereka menerima keahlian baharu sama ada dalam kalangan ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang lain.

Beliau percaya langkah Warisan menampilkan muka baharu yang belum pernah bertanding pada PRU14 ini memberi kelebihan kepada mereka untuk mendapatkan sokongan rakyat yang inginkan perubahan.

Ahli perniagaan ini memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan di Berita Harian dan Harian Mercu.

Nama Zakaria antara yang disebut-sebut bakal bertanding bagi salah satu kerusi DUN di Sepanggar. Nama lain yang turut dijangka bakal diumumkan sebagai calon termasuklah Ketua Bahagian Warisan Sepanggar Mentoh Aru dan Azhar Matussin.

Parlimen Sepanggar mempunyai dua kerusi DUN iaitu Inanam dan Karambunai. Penyandang bagi DUN Karambunai ialah Datuk Jainab Ahmad Ayid yang bertanding di bawah payung BN manakala, penyandang DUN Inanam ialah Dr Roland Chia dari PKR.

Advertisement