Anda di sini

Usahawan Sabah mampu bersaing secara sama rata

Advertisement

KOTA KINABALU: Program eUsahawan buka peluang kepada peniaga di Sabah bersaing dalam persekitaran yang sama rata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat Sabah terutama golongan muda tidak lagi perlu memikirkan tentang lokasi untuk berniaga.

Katanya, menerusi perniagaan dalam talian (online), lokasi tidak lagi menjadi cabaran utama dalam berniaga.

"Semua cabaran itu lebur oleh penggunaan internet dan usahawan di Sabah kini mampu memasarkan produk ke seluruh negara dan juga dunia.

"Barisan Nasional (BN) amat serius tentang ekonomi digital sebab ia penting kepada Sabah.

"Ekonomi digital adalah ekonomi strategik untuk Sabah dan kita tidak lagi ada alasan untuk berada di belakang kerana di sini kita dapat bersaing dengan semua pihak," katanya.

ABDUL RAHMAN (kiri) menyampaikan anugerah kepada usahawan yang mengikuti program itu.
ABDUL RAHMAN (kiri) menyampaikan anugerah kepada usahawan yang mengikuti program itu.

Beliau berkata demikian kepada media sempena perasmian Program Bootcamp eUsahawan anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mengingatkan rakyat Sabah terutamanya golongan usahawan supaya mempergunakan internet dengan lebih bertanggungjawab.

Menurutnya, banyak yang boleh dipelajari melalui internet terutamanya dalam memasarkan produk dengan lebih meluas.

"Pekerjaaan yang ada sekarang hampir 60 peratus akan hilang pada masa hadapan disebabkan proses automasi, mekanisasi dan teknologi.

"Justeru, mereka yang menceburi bidang teknologi mampu bertahan di pasaran pada masa akan datang.

"Ekonomi digital juga akan menghasilkan industri baharu apabila budaya pembelian secara atas talian semakin meningkat di Sabah," jelasnya.


 

  • oleh
  • Advertisement