Anda di sini

Shafie hanya 'memperkudakan' penyokong KDM

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Penyokong Kadazandusun Murut (KDM) Parti Warisan diingatkan supaya berhati-hati dengan agenda presiden parti berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan (gambar) berkata, Presiden Parti Warisan Datuk Seri Shafie Apdal hanya 'memperkudakan' penyokong KDM dalam Warisan.

"Saya dimaklumkan oleh beberapa pihak, Warisan tidak akan menyenaraikan calon KDM bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jika ini berlaku, ia menunjukkan KDM hanya 'diperkudakan' oleh Shafie untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bootcamp eUsahawan di sini pada Rabu.

Menurutnya, ada dalam kalangan penyokong KDM Warisan mempersoalkan tindakan Shafie jika beliau tidak meletakkan calon-calon KDM dalam DUN.

Katanya, ia termasuklah pemimpin KDM yang berwibawa dan mempunyai kedudukan tinggi dalam parti seperti timbalan presiden untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Ini bermakna, pemimpin KDM dalam Warisan tidak akan berpeluang menerajui kerajaan negeri Sabah sekiranya Warisan memenangi PRU14.

"Dari dulu lagi, cara Shafie tidak mempunyai keikhlasan terhadap KDM kerana beliau dan konco-konco akan mendominasi kerajaan negeri Sabah," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penyokong KDM Warisan supaya berhati-hati kerana ternyata parti berkenaan tidak mementingkan isu KDM dalam perjuangan mereka.

 
  • oleh
  • Advertisement