Anda di sini

PKR dan PAS turut rebut kerusi Parlimen Sibuti

Advertisement
 LUKANISMAN
CALON BN: LUKANISMAN
 JEMAT
CALON PKR: JEMAT
 ZULAIHI
CALON PAS: ZULAIHI

MIRI: Kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sibuti bakal diuji selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) masing-masing mengesahkan bertanding di situ.

Kerusi milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sebelum ini pernah digugat kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan PRU13 namun BN menang kedua-dua pertembungan.

Pada PRU12 (2008), Ahmad Lai bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional  (BN-PBB) menewaskan calon lawan Michael Teo Yu Keng daripada PKR.

Beliau menang dengan mendapat undi sebanyak 8,238 manakala Michael Teo mendapat 4,590 undi.

Ahmad Lai sekali lagi mempertahankan kerusi tersebut pada PRU13 lalu selepas menang besar dengan majoriti 6,066 menewaskan calon PAS Robby@ Muhamad Zaid Tandang.

Pertandingan dua penjuru itu menyaksikan Ahmad Lai mendapat 13,348 undi mengalahkan Robby yang memperolehi 7,282 undi.

Pada PRU14 kali ini, ia bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan menyaksikan calon muka baharu daripada BN dan PAS, sementara PKR menggunakan pengalaman calon lama.

Dua muka baharu masing-masing ditengahkan BN dan PAS dengan menampilan calon paling muda Lukanisman Awang Sauni, 36, dan Zulaihi Bakar, 49, yang mewakili PAS.

Sementara itu, PKR pula menampilkan Jemat Panjang yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Ia adalah pertandingan sulung tiga penjuru membabitkan ketiga-tiga parti di konstituensi itu selepas BN berjaya menumbangkan kedua-dua calon parti pembangkang sebelum ini.

Sementara itu, hari penamaan calon telah ditetapkan pada Sabtu ini dan bagi Parlimen Sibuti, ia akan berlangsung di Dewan Masyarakat Bekenu.

Advertisement