Anda di sini

Pemandu van didakwa membunuh

Advertisement
 Orang yang berkabung menghadiri upacara khas untuk memberi penghormatan kepada mangsa sehari selepas seorang lelaki memandu van merempuh pejalan kaki di atas kaki lima yang sesak di Toronto, Kanada kelmarin. — Gambar Reuters
PENGHORMATAN: Orang yang berkabung menghadiri upacara khas untuk memberi penghormatan kepada mangsa sehari selepas seorang lelaki memandu van merempuh pejalan kaki di atas kaki lima yang sesak di Toronto, Kanada kelmarin. — Gambar Reuters

TORONTO: Seorang lelaki Kanada yang dipercayai berdendam dengan kaum wanita telah didakwa atas tuduhan membunuh kelmarin setelah dia didakwa melanggar orang ramai dengan sebuah van sewa yang dipandunya di atas kaki lima yang sesak di Toronto, dan membunuh 10 orang – satu insiden yang mengejutkan negara itu.

Polis berkata suspek berusia 25 tahun Alek Minassian, tidak dikenali mereka sebelum kejadian berdarah Isnin lepas di bandar raya dengan penduduk paling ramai di Kanada, yang turut mencederakan 14 orang. Kebanyakan mangsa adalah wanita.

Menteri Keselamatan Awam Ralph Goodale menepis sebarang andaian bahawa serangan itu menunjukkan ciri-ciri serangan yang dilakukan oleh pelampau yang memandu trak di London, Nice dan bandar raya lain, dengan menyatakan “kaitan kepada keselamatan negara tidak dapat dikesan”.

Namun pihak berkuasa berkata insiden pada waktu makan tengah hari yang sibuk Isnin lepas ternyata disengajakan.

Penyiasat utama Detektif Sarjan Graham Gibson berkata Minassian telah menulis “mesej rahsia dalam Facebook beberapa minit sebelum dia mula memandu van sewa berkenaan” di sepanjang jalan Yonge Street, sebelum akhirnya menaiki bahu jalan dan memandu di kaki lima.

Dalam paparan itu, Minassian memuji pembunuh beramai-ramai Elliot Rodger – seorang pemuda Amerika berusia 22 tahun yang membunuh enam orang dan kemudian membunuh diri di California pada 2014, dan mengakui kecewa mengenai keterunaannya dan wanita yang menolaknya.

Tulisan suspek itu turut merujuk kepada “Incel Rebellion” – “incel” adalah singkatan bagi “involuntarily celibate” (membujang tanpa kerelaan) dan sering digunakan berhubung dengan kumpulan lelaki dalam talian yang kecewa dari segi seksual dan diketahui asyik memarahi kaum wanita.

“Kami akan menggu-lingkan semua Chad dan Stacy!” kata tulisan itu, iaitu nama yang digunakan dalam komuniti itu untuk menggambarkan orang yang tidak ada masalah mencari teman seksual.

Gibson berkata mangsa dalam serangan di Toronto “kebanyakannya wanita” yang berusia daripada per-tengahan 20-an hingga kepada 80-an.

Minassian juga merujuk kepada dirinya dalam media sosial sebagai seorang prebet dalam tentera.

Jurucakap tentera Kanada, Jessica Lamirande, mengesahkan dia mendaftar diri pada Ogos lalu tetapi meminta untuk dikeluarkan selepas menjalani latihan asas selama 16 hari sahaja.

Minassian dengan kepala botak dibawa ke mahkamah awal kelmarin untuk men-dengar dakwaan terhadapnya – 10 tuduhan melakukan pembunuhan yang dirancang awal dan 13 tuduhan cuba membunuh. Tuduhan ke-14 cuba membunuh sedang menunggu selepas jumlah mangsa cedera dikurangkan.

Minassian berdiri tanpa menunjukkan sebarang reaksi dengan tangannya di belakang, sambil memakai baju monyet polis berwarna putih. Dia tenang ketika dibawa keluar.

Suspek dijadual kembali ke mahkamah pada 10 Mei untuk pendengaran ikat jamin.

Beberapa mangsa dinama-kan dalam dokumen mah-kamah, tetapi mangsa lain masih belum dicam oleh koroner, yang mendapatkan bantuan tambahan pada malam kelmarin.

Mangsa pertama yang ter-korban dan dinamakan secara terbuka adalah Anne Marie D’Amico, yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan pelaburan dekat tempat kejadian.

Keluarganya menganggapnya “cahaya yang menyinar”, dan menyebut dalam satu kenyataan: “Kami harap pada waktu ini, orang berjuang dengan altruisme sama (yang dia miliki) dan bukannya dengan kemarahan dan kebencian.”

Dua warga Korea Selatan turut terkorban, kata seorang pegawai kementerian luar di Seoul kepada AFP, dan menambah seorang lagi warga negara itu cedera serius.

Seorang warga Jordan turut terbunuh.

Minassian hidup bersama bapanya di daerah pinggir Toronto, Richmond Hill, dan polis memeriksa rumah mereka kelmarin.

Pelajar yang pergi ke sebuah sekolah vokasional bersama suspek menggambarkannya sebagai suka menyendiri dan janggal.

Ari Blaff, yang pergi ke sekolah tinggi bersama Minassian, memberitahu badan penyiaran awam CBC bahawa kelakuannya “biasanya agak aneh”.

Namun Blaff berkata dia “tidak pernah memerhati-kan apa-apa yang ganas” – suspek hanya “membuat orang rasa tidak selesa bila bersamanya”.

Ibu Minassian memberitahu sebuah akhbar komuniti pada 2009 bahawa anaknya itu mengalami sebentuk autisme dikenali sebagai sindrom Asperger.

Kelmarin polis terus mencari bukti di lokasi jenayah, manakala orang ramai berhimpun di satu tugu peringatan sementara untuk meninggalkan ucapan takziah dan bunga.

Ketua Menteri Ontario, Kathleen Wynne, adalah antara mereka yang singgah untuk meninggalkan bunga, jeda sejenak untuk membaca kad yang ditinggalkan sebagai peringatan kepada mangsa yang terkorban.

Di Ottawa, Perdana Menteri Justin Trudeau memberitahu satu sidang akhbar: “Rakyat Kanada di seluruh negara terkejut dan sedih dengan serangan yang tidak masuk akal ini.”

Namun tambahnya: “Kita tidak boleh hidup dalam ketakutan dan ketidaktentu-an setiap hari apabila kita menjalani kehidupan harian.” — AFP

Advertisement