Anda di sini

M.Kayveas dipecat, kata setiausaha agung MyPPP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy semalam berkata Tan Sri M. Kayveas dipecat daripada parti itu kelmarin.

Ketika dihubungi Bernama di sini, Mohan berkata pemecatan itu yang berkuat kuasa serta-merta dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT)  MyPPP selepas mendapati Kayveas mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti serta Barisan Nasional (BN).

Terdahulu semalam, Kayveas mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Presiden MyPPP selepas memegang jawatan itu lebih dua dekad, berkuat kuasa Isnin, menerusi catatan pada laman Facebook dan Twitter beliau.

Mengulas lanjut, Mohan berkata keputusan memecat Kayveas dicapai sebulat suara dalam mesyuarat MT parti malam kelmarin.

“Keputusan ini dibuat susulan penemuan jawatankuasa disiplin parti (berhubung Kayveas bertindak di luar kepentingan parti) malam tadi (kelmarin). Kayveas tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau menghadiri mesyuarat dengan anggota parti,” katanya.

Mohan berkata buat masa ini parti akan diterajui oleh Naib Presiden Kanan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz  selaku pemangku presiden.

Mengulas lanjut, Mohan berkata tindakan disiplin terhadap Kayveas diambil selepas parti menerima surat daripada Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengarahkan Kayveas dikenakan prosiding disiplin kerana membuat ke-putusan unilateral berhubung agihan kerusi.

Ditanya sama ada MyPPP menerima surat peletakan jawatan daripada Kayveas, Mohan berkata: “Tiada sebarang notis diterima secara rasmi. Namun saya diberitahu beliau mengumumkan peletakan jawatannya itu menerusi catatan dalam media sosial Facebook dan Twitter.”

Menurutnya Kayveas mem-buat keputusan secara unila-teral berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bertindak sendiri tanpa berbincang dengan MT.

“Jawatankuasa disiplin mendapati perbuatan itu satu kesalahan serius kerana membawa kesan yang sangat buruk dan mungkin merosakkan hubungan dengan parti komponen BN yang lain dan BN sendiri. Surat yang dihantar Tengku Adnan semalam (kelmarin) memberi baya-ngan yang MyPPP mungkin diminta keluar daripada BN,” katanya.

Sehubungan itu katanya menjadi tanggungjawab jawa-tankuasa disiplin untuk membincangkan isi kandungan surat tersebut serta memutuskan sama ada Kayveas telah melanggar perlembagaan parti.

“Kami sebulat suara memutuskan yang beliau bertindak sendirian tanpa berbincang mengenai isu penting berhubung peruntukan kerusi untuk MyPPP,” katanya.

Mohan berkata Kayveas juga melanggar perlembagaan parti apabila menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga tanpa berunding dengan MT, untuk menyerahkan kesemua lima kerusi yang diperuntukkan kepada parti pada PRU14  ini semata-mata bagi mendapatkan kerusi Cameron Highlands.

Katanya semasa anggota MT bertemu perdana menteri untuk membincangkan agihan kerusi, Najib secara jelas menyatakan kerusi Cameron Highlands tidak akan diper-untukkan kepada Kayveas atau MyPPP kerana ia milik MIC. — Bernama

Advertisement