Anda di sini

Mizma galas amanah beri kemenangan BN

Advertisement
 

LAHAD DATU: Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) Sabah bagi kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku, Mizma Apehdullah (gambar) menyifatkan kepercayaan diberikan parti  kepadanya sebagai tanggungjawab besar bagi memastikan kerusi berkenaan terus kekal milik BN.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Silam itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi calon wanita   pertama bertanding di DUN Tungku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tungku merupakan satu daripada tiga DUN selain Kunak dan Lahad Datu di bawah Parlimen Silam.

DUN Tungku sebelum ini disandang oleh calon BN Allahyarham Datuk Mohd Suhaili Said yang meninggal dunia pada 24 Mac tahun lepas.

Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, Mizma berkata pencalonannya itu merupakan satu titik permulaan buat dirinya untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu menyuntik kemenangan buat BN pada PRU14.

"Saya komited memikul amanah ini untuk memastikan BN mencapai kemenangan cemerlang pada 9 Mei nanti," katanya.

Mizma Appehdullah
 

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Silam Zuraidah Asdain berkata penampilan Mizma sebagai calon BN di Tungku bertepatan kerana ia bukti bahawa BN mengangkat wanita sebagai antara golongan penting dalam kepimpinan negara.

Zuraidah dalam pada itu berkata jentera Puteri akan membantu memenangkan semua calon BN sama ada di Parlimen atau DUN.

Ketua Wanita Gerakan Silam Marlina Macpee pula yang gembira dengan pencalonan Mizma  menganggap beliau sebagai wanita kuat dan berpotensi membantu pembangunan golongan wanita di daerah Lahad Datu.

"Beliau (Mizma) memang layak mendapat tempat dalam pencalonan itu kerana penduduk daerah berkenaan tahu dan melihat sendiri bagaimana dan cara beliau bekerja dari bawah dan membantu masyarakat," katanya yang  turut berharap Mizma dapat menyuntik lebih banyak pembangunan di Tungku jika menang PRU14 ini.-Bernama.

Advertisement