Anda di sini

Membudayakan amalan ‘jika tidak pasti, jangan kongsi’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbuatan masyarakat yang masih menyebar dan berkongsi berita palsu boleh memberi impak buruk bukan sahaja kepada individu dan reputasi sesebuah organisasi tetapi juga kepada kesejahteraan negara.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Dr Mazlan Ismail berkata bagi mengatasinya maka amalan ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’ perlu diterap berikutan masyarakat ketika ini yang cenderung untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang diterima tanpa membuat tapisan terlebih dahulu.

“Hakikatnya, terdapat banyak contoh kes yang mana maklumat-maklumat palsu menjadi tular di media sosial. Begitu juga dengan berita-berita lama yang dikitar semula untuk tujuan-tujuan tertentu.

“Apa yang dipaparkan dalam internet atau pun media sosial tidak semestinya benar belaka. Oleh itu, pengguna internet perlulah bijak menilai dan menganalisa sesuatu maklumat yang diterima, celik fakta serta menentusahkannya dengan sumber rasmi terlebih dahulu seperti portal atau app sebenarnya.my,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurutnya bagi menangani berita palsu dan melindungi kepentingan masyarakat, MCMC telah mengambil beberapa pendekatan antaranya merangkumi aspek advokasi, pemantauan dan penguatkuasaan

Dr Mazlan berkata pendekatan itu termasuklah melalui pelancaran portal sebenarnya.my yang kini menjadi sumber rujukan utama masyarakat dan agensi kerajaan untuk mengesahkan berita-berita yang tular.

Beliau berkata MCMC turut menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan media untuk memastikan mesej utama iaitu ‘Berita Palsu Musuh Negara’ dan ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’ diterima masyarakat.

Menurutnya dari aspek penguatkuasaan, MCMC turut memantau dan menyiasat akaun-akaun media sosial yang menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu dan sebagainya.

Sehingga akhir 2017, sebanyak 40 kes berita palsu telah disiasat dan daripada jumlah itu sebanyak 10 kes telah didakwa di mahkamah, katanya. — Bernama

Advertisement