Anda di sini

MCOT juara keseluruhan pertandingan ERT Zon 6

Advertisement
 Pasukan Petronas MCOT merakamkan gambar kenangan bersama dengan tetamu kehormat sambil menjulang piala pusingan yang dimenangi.
JUARA: Pasukan Petronas MCOT merakamkan gambar kenangan bersama dengan tetamu kehormat sambil menjulang piala pusingan yang dimenangi.

PASUKAN Bomba Bantuan Petronas Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Emergency Response Team (ERT) Peringkat Zon 6 Sarawak Tahun 2018.

Kemenangan itu membolehkan pasukan tersebut membawa pulang piala pusingan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, medal dan sijil untuk setiap peserta serta wang tunai berjumlah RM1,000.

Petronas MCOT turut menjadi juara lima acara lain iaitu acara kombinasi alat pemadam api serbuk kering jenis ABC sembilan kilogram dan membentang hos 100 kaki untuk lelaki dan perempuan.

Selain itu, acara kawad operasi pam kering berhalangan 400 kaki (campuran) berpasukan, acara kawad operasi membentang 100 kaki (lelaki) berpasukan dan acara kawad operasi naik turun tangga (lelaki) berpasukan.

Ketua Komander Kebakaran MCOT Mohd Jaffar Bujang berkata, beliau begitu bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan pasukannya yang berjaya membawa pulang piala pusingan tersebut.

“Dari segi persediaan, sememangnya ahli pasukan sudah bersiap sedia dari awal lagi untuk pertandingan ini dengan beberapa siri latihan persediaan turut dijalankan.

“Kemenangan ini juga tidak dijangka kerana pasukan-pasukan lain yang turut bersaing bagi tahun ini begitu sengit dan hebat dan diharapkan pertandingan ini akan diteruskan untuk tahun mendatang,” katanya ketika ditemu bual pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Miri, baru-baru ini.

Pertandingan ERT dan Bomba Sukarela Peringkat Zon 6 Sarawak Tahun 2018 diadakan selama dua hari di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng.

Pertandingan kali ini mencatat sejarah dengan penyertaan 86 syarikat, jabatan, persatuan dan kampung dengan jumlah peserta sebanyak 500 orang.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Gerawat Gala dalam ucapan perasmian penutupannya berkata, penglibatan para peserta dalam pertandingan seumpama ini adalah baik agar dapat mempersiapkan diri apabila berlaku kecemasan terutamanya kebakaran.

“Para peserta yang mengikuti pertandingan ini begitu beruntung kerana di sini anda semua dapat meningkatkan kecekapan dan menerima pengetahuan baharu mengenai cara yang betul untuk bertindak jika berlakunya kebakaran di tempat anda.

“Harapan saya juga agar para peserta apabila balik ke tempat kerja dan kampung masing-masing, silalah berkongsi pengetahuan kebombaan yang anda pelajari dengan rakan-rakan yang lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement