Anda di sini

Lelaki halang penembak Tennessee disanjung sebagai wira

Advertisement
 Shaw menghadiri sidang media selepas kejadian tembakan di Nashville, Tennessee pada 22 April lalu. — Gambar AFP
DISANJUNG: Shaw menghadiri sidang media selepas kejadian tembakan di Nashville, Tennessee pada 22 April lalu. — Gambar AFP

CHICAGO: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang berdepan dan menghalang seorang lelaki bersenjata semasa amukan di sebuah restoran Tennessee kelmarin disanjung sebagai seorang wira oleh badan perundangan negeri Amerika Syarikat (AS).

James Shaw Jr bertindak sendirian untuk merampas raifal separuh automatik AR-15 daripada tangan Travis Reinking – juga berusia 29 tahun dan mempunyai sejarah penyakit mental – ketika dia dikatakan hendak mengisi semula peluru di tengah-tengah kejadian tembakan pada awal pagi Ahad.

Empat orang terbunuh dan dua lagi tercedera di restoran Waffle House di bandar Nashville, bandar utama muzik country di AS.

Namun Shaw dipuji kerana menyelamatkan banyak nyawa lagi. Beliau mengalami luka kecil akibat sebutir peluru dan melecur pada tangan kanannya akibat merampas raifal yang panas.

Beliau digelar sebagai seorang wira oleh mangsa terselamat dalam kejadian tembakan Ahad itu dan anggota keluarga mereka, termasuk ramai orang lagi dalam media.

Shaw telah beberapa kali menolak gelaran tersebut, menyatakan beliau bertindak hanya untuk mempertahankan diri sendiri.

“Saya bukan seorang wira. Saya hanya seorang insan biasa,” kata beliau pada Ahad lepas sambil menangis.

“Saya melakukan itu sepenuhnya kerana tindakan pentingkan diri sendiri. Saya betul-betul melakukannya hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.”

Namun badan perundangan Tennessee kelmarin menolak keputusan beliau, meluluskan satu resolusi untuk menghargai Shaw. Anggota badan perundangan turut memberi tepukan gemuruh kepada beliau sebanyak dua kali.

“Tidak kira motif sebenar beliau, Encik Shaw sememangnya seorang wira. Tindakannya pada pagi itu tidak dapat dipertikaikan langsung,” menurut resolusi.

“Encik Shaw telah segera bertindak dan dengan itu menyelamatkan banyak nyawa.”

Reinking berada di dalam penjara berdepan dengan empat tuduhan membunuh. Satu ikat jamin sebelum ini sebanyak $2 juta ditarik balik kelmarin, dan dia menunggu bagi kehadiran pertamanya di mahkamah semalam. — AFP

Advertisement